suria

Ibu, Waris Terdekat Riko Lumbok Dicari

SARIKEI: Pejabat Kebajikan Masyarakat (PKM) Bahagian Sarikei kini sedang mencari ibu kandung atau waris terdekat kepada seorang kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Riko Lumbok. 

Kanak-kanak berusia 11 tahun dan berasal dari Nanga Bayan, Ketingan Hulu Kebupaten Sintang, Indonesia dijumpai polis merayau-rayau di Terminal Bas Borneo, Jalan Wharf di sini pada 4 Mac lalu. 

Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Julia Nuai Gawing berkata ibu kandung Riko dikenali sebagai Sampit dipercayai berbangsa Iban dan berkahwin dengan bapa Riko warga Indonesia. 

"Kampung Sampit dipercayai terletak di kawasan Lachau, bersempadanan dengan Indonesia," katanya kepada Bernama pada Khamis.    

Selepas perceraian ibu bapanya, Riko tinggal bersama-sama bapanya dan membantu beliau menjual sayur-sayuran di pekan Lachau.

Bagaimanapun, setelah bapanya meninggal dunia akhir Februari lalu, Riko pergi ke bandar Sarikei untuk mencari ibu kandungnya serta keluarga sebelah bapanya yang berkahwin dengan penduduk tempatan di sini.

Kanak-kanak itu kini ditempatkan di Rumah Kanak-kanak Ajibah Abol di Sri Aman sejak 7 Mac lepas. 

"Kami berharap ibu kandung kanak-kanak ini atau waris terdekat datang ke pejabat kami untuk proses selanjutnya," jelasnya.    

Julia berkata ibu kandung atau mana-mana waris terdekat Riko boleh menghubunginya atau Jessica Emmy di talian 084-651005 bagi urusan penempatan kanak-kanak tersebut dengan kadar segera. -Bernama

Riko Lumbok, Waris, Ibu

Artikel Berikut

Artikel Lain