suria

Pemuda MCA P.Pinang Mahu Phang Beri Penjelasan Akuan Berkanun

Phang Li Koon

BUTTERWORTH: Pemuda MCA Pulau Pinang mahu Phang Li Koon, bekas pemilik banglo di Jalan Pinhorn, George Town yang dijual kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng, tampil memberi penjelasan berhubung akuan berkanun yang dibuatnya Mac lepas.

Timbalan Ketua Pemuda MCA negeri, Ang Chor Keong berkata pihaknya bimbang berlaku penyalahgunaan akuan berkanun Phang itu dalam usaha melindungi pihak ketiga kerana ia dibacakan orang lain iaitu Exco kerajaan negeri, Phee Boon Poh.

"Tindakan ini akan membuat Phang terperangkap dalam masalah undang-undang dan kami merasakan ini adalah tidak adil kepadanya. Kami mahu beliau sedar kes ini amat serius.

"Sekiranya ini bukan akuan bersumpah yang dibuat oleh Phang, dia harus tampil dan beritahu ini bukan akuan bersumpahnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ang yang juga Penolong Ketua Pemuda MCA Bahagian Bagan membuat laporan polis di Balai Polis Mak Mandin, di sini berhubung surat akuan berkanun Phang.

Ang berkata laporan itu dibuat untuk meminta polis menyiasat sama ada terdapat pihak ketiga yang memaksa Phang menandatangani akuan berkanun itu yang kini dalam siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kami juga meminta polis menyiasat mengikut Seksyen 200 Kanun Keseksaan, menggunakan akuan berkanun itu yang dipercayai adalah palsu," katanya.

Ditanya mengapa Pemuda MCA Pulau Pinang mengambil masa yang lama untuk membuat laporan polis, beliau berkata pihaknya mahu membuat kajian terlebih dahulu.

Phang yang menjual banglo itu kepada Lim dengan harga RM2.8 juta, membuat akuan berkanun berkenaan pada 22 Mac lalu, selepas isu penjualan tersebut mendapat liputan meluas di media massa kerana dikatakan dijual di bawah nilai harga pasaran.

Akuan berkanun itu dibaca oleh Phee, yang mempunyai hubungan saudara jauh dengan Phang dan penasihat kepada Persatuan Phang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain