PUTRAJAYA: Lebih 500 penjawat awam yang bertugas di Kompleks C di sini, tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan percuma disumbangkan warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Projek 3C (Care, Charity and Cherish), Jumaat. Pelbagai barangan keperluan harian seperti beras, gula, susu tin serta barangan lain seperti pakaian terpakai, buku dan makanan yang dikumpulkan di 10 gerai, habis dalam masa tidak sampai setengah jam. Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Jalil Marzuki ketika melancarkan program itu berkata, 3C yang bertemakan "Show A Care, Give A Share" menekankan aspek berbuat kebaikan dan menjadi wadah meningkatkan semangat kekitaan dalam meringankan beban penjawat awam. "Usaha ini perlu dihayati dan disemarakkan untuk melentur keperibadian warga JPA dengan melaksanakan program-program yang amat relevan dengan Teras Strategik Kelima dalam Kerangka Transformasi Perkhidmatan Awam iaitu Membudaya Nilai. "Tanpa penghayatan nilai-nilai murni, segala usaha untuk menjayakan pelaksanaan transformasi dalam perkhidmatan awam tidak akan dapat direalisasikan seperti mana yang dikehendaki dan diingini rakyat," katanya. Program berkonsepkan 'free market' itu diharap menjadi contoh kepada kementerian dan agensi kerajaan lain untuk melaksanakan program yang sama bagi meringankan beban penjawat awam yang memerlukan.-- Bernama