KUALA LUMPUR: Empat kawasan di semenanjung mencatat kualiti udara tidak sihat dengan Cheras, di sini merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada 126 setakat pukul 1 tengah hari Sabtu. Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan lain yang berada dalam kategori tidak sihat ialah Shah Alam, Selangor (115), Pelabuhan Klang (112) dan Nilai, Negeri Sembilan (103). Bacaan IPU di Miri, Sarawak, bagaimanapun menunjukkan penurunan yang banyak dari 146 pada 22 April kepada 40 setakat pukul 11 pagi tadi, untuk berada dalam kategori baik. Kebanyakan kawasan di semenanjung turut mencatat bacaan sederhana dengan Banting memiliki catatan tertinggi kategori itu pada 99. Kualiti udara di Malaysia Timur secara rata-ratanya berada dalam keadaan baik dengan Tawau mencatat bacaan 19 dan Sibu (26). Kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar baru-baru ini menjelaskan jerebu di Lembah Klang sejak 20 April adalah akibat kebakaran hutan di beberapa kawasan di semenanjung termasuk kebakaran tanah gambut di sempadan Kuala Langat dan Sepang, Selangor. Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Selangor Selatan, Abu Bakar Abdul Kadir berkata kebakaran tanah gambut seluas 65 ekar itu bermula 31 Mac lepas dan pihaknya berjaya mengurangkannya sehingga 38 ekar setakat ini. "Kami jangka dapat memadamkan sepenuhnya kebakaran itu dalam masa lima hari. Bagaimanapun, ia mungkin mengambil masa yang lebih jika air merebak akibat tiupan angin," katanya. IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya). Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.