suria

DAP Kecewa Dengan PKR

KUCHING: DAP dan PKR menyalahkan satu sama lain dalam kemelut agihan kerusi yang membawa kepada kedua-dua parti pembangkang itu bertembung di enam kawasan pilihan raya negeri, 7 Mei ini.

"Kami rasa DAP tidak menerima apa yang yang sepatutnya. Saya dapati ini amat mengecewakan...sudah pasti akan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan penyokong," kata Setiuasa Agung DAP, Lim Guan Eng.

Berikutan tindakan PKR bertanding lima kerusi yang disasarkan oleh DAP, maka DAP membalas dengan meletakkan calon kerusi majoriti Cina, Bukit Kitang yang sebelum ini diperuntukkan kepada PKR.

Bercakap kepada media di pusat penamaan Senadin di Miri, Lim menegaskan bahawa PKR sepatutnya berpegang kepada perjanjian bertulis berhubung pengagihan kerusi yang dicapai antara beliau dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali pada 7 April lepas.

"Ini bukan hanya satu kerusi tetapi lima. Jika satu kerusi, kita mungkin boleh mengendahkannya tetapi bagaimana kita boleh mengabaikan lima kerusi?.

Tidak ada komitmen untuk mematuhi perjanjian," katanya.

Sementara itu, Ketua PKR Sarawak, Baru Bian berkata keputusan meletakkan calon parti dibuat secara bersama oleh kedua-dua pemimpin parti di peringkat negeri dan pusat.

"Kerusi yang kami bertanding adalah kawasan yang kami berkerja keras sejak beberapa tahun. Tempoh rundingan dengan DAP masih terbuka sehingga saat-saat akhir sebelum hari penamaan calon.

"Kami juga mengemukakan cadangan untuk menyelesaikan pertelingkahan ini.

Malangnya kami tidak mendengar apa-apa daripada DAP sehingga tengah malam semalam," katanya dalam kenyataan.

Bian meminta pengundi membuat pilihan bijak dan menyokong calon yang berkerja keras dengan peluang yang lebih baik untuk menang.

Selain kerusi Batu Kitang, DAP dan PKR akan bertembung di Mambong, Ngemah,  Simanggang, Murum dan Mulu.

Mambong akan menjadi perebutan tiga penjuru dalam kalangan parti pembangkang dan BN, Batu Kitang melibatkan pertandingan lima penjuru manakala yang lain ialah saingan empat penjuru.

DAP menyenaraikan 31 calon manakala PKR 40.-- Bernama


PKR, DAP, Lim Guan Eng, Bukit Kitang

Artikel Lain