suria

Dua Lans Koperal Didakwa Sengaja Tidak Tahan Suspek Kes Rogol

SHAH ALAM: Dua anggota polis pada Isnin didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhanan sengaja tidak menangkap suspek kes rogol seorang kanak-kanak perempuan berumur empat tahun di Sungai Buloh pada 14 April lepas.

Lans Koperal Shafie Sudiman, 31, dari Sungai Buloh dekat sini dan Lans Koperal Mohd Nazlee Mohamad Yusof, 38, dari Kampung Melayu Subang di sini, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad.

Mereka didakwa bersama-sama sebagai penjawat awam yang terikat di sisi undang-undang, sengaja tidak menangkap seorang lelaki warga Kemboja, Koew Tourn, yang merupakan suspek kes rogol seorang kanak-kanak, di Balai Polis Sungai Pelong, Sungai Buloh, pada 5 pagi, 14 April.

Kedua-dua anggota polis itu didakwa mengikut Seksyen 221 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Farah Azura membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan 25 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurulhuda Ramli sementara kedua-dua anggota polis itu diwakili peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Nurfadhilah Zahari.

Rogol, Polis

Artikel Lain