suria

82 Tahun Penubuhannya, TLDM Kini Tentera Laut Lepas Bertaraf Dunia

Panglima TLDM Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

KUALA LUMPUR: Bermula sebagai 'Brown Water Navy atau  Tentera Laut Persisiran di awal penubuhannya pada 27 April 1934, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini boleh berbangga apabila sudah dilihat sebagai 'Blue Water Navy atau Tentera Laut Lepas bertaraf dunia.

Menempuh tempoh evolusi yang panjang dan mencabar lebih lapan dekad lalu juga telah meletakkan cabang agensi pertahanan negara itu kini sebagai barisan hadapan yang berpengalaman terutama dalam memimpin atau mengetuai pasukan tentera laut di rantau Asean.

Panglima TLDM Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata pencapaian yang dinikmati TLDM hari ini adalah hasil kesungguhan dan komitmen berterusan semua warga agensi itu sejak dahulu.

"TLDM telah mengalami perubahan yang banyak dan sekarang kita telahpun capai ke tahap bertaraf dunia berbanding dahulunya TLDM hanya Tentera Laut Persisiran," katanya dalam temu ramah eksklusif dengan Bernama baru-baru ini, bersempena Sambutan Hari TLDM ke-82 yang akan dirai Rabu ini.

Katanya, pada usia yang akan menginjak 82 tahun, TLDM tidak boleh menoleh kebelakang, sebaliknya perlu terus merangka dan melaksana strategi berkesan bagi mengukuhkan lagi kedudukan dan peranannya terutama dalama menghadapi cabaran pertahanan khususnya di perairan negara yang semakin kompleks.

Berkongsi mengenai kesiapsiagaan semasa TLDM bagi mendepani risiko cabaran itu, Ahmad Kamarulzaman berkata anggota pasukan itu sering mengadakan latihan bersama pasukan tentera laut negara luar yang bertujuan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan warga TLDM.

Selain itu katanya, kekuatan TLDM kini telah meliputi tiga dimensi di lautan iaitu atas permukaan, permukaan dan bawah permukaan yang pastinya tidak boleh dipandang ringan oleh pihak musuh.

Bagaimanapun, katanya cabaran fiskal yang dihadapi TLDM pada masa ini ekoran pengurangan peruntukan belanjawan kerajaan adalah cabaran dalaman yang terpaksa dihadapi dengan bijak tanpa menjejaskan peranan TLDM.

Katanya, walaupun terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia, TLDM tidak boleh menjadikan ia sebagai alasan untuk tidak berperanan sebaik mungkin, apatah lagi apabila melibatkan soal keselamatan dan kedaulatan negara.

Jelasnya, pasukan itu perlu mengimbangi pengurusan kewangan terutama dalam mengawal keselamatan di perairan negara dalam situasi ekonomi tidak menentu.

"Kelembapan ekonomi dunia turut menjejaskan TLDM. Bagaimanapun rakyat dan kerajaan mahu TLDM melaksanakan tugas mengawal perairan negara dengan berkesan dan itu yang kita lakukan," katanya.

Di sebalik cabaran fiskal itu, Ahmad Kamarulzaman menyifatkan ia sebagai satu hikmah kerana ia telah mematangkan lagi tampuk kepimpinan TLDM untuk terus memberi khidmat kepada negara dengan memikirkan altenatif yang kreatif dan inovatif dan memastikan TLDM tidak terjejas dengan cabaran fiskal itu.

Katanya, TLDM telah mengguna pakai pendekatan luar biasa dengan objektif untuk menghasilkan impak luar biasa iaitu dengan melaksanakan Program Transformasi 15-to-5 Armada TLDM, iaitu program penyusunan semula armadanya daripada 15 kelas kapal kepada hanya lima kelas kapal.

Ahmad Kamarulzaman berkata penyusunan semula kapal-kapal yang sedia ada kepada kelas yang lebih kecil membolehkan TLDM melakukan penjimatan untuk kos pengoperasian kapal.

"Jika dahulu kita mempunyai 15 jenis kapal dari tujuh negara dan purata usia kapal ini adalah 30 tahun. Apabila dikaji kos untuk mengurus kesemua kapal ini amat tinggi.

"Oleh itu, kita kurangkan kepada lima kelas kapal sahaja iaitu kapal tempur pesisir pantai (LCS), kapal ronda generasi baharu (NGPV), kapal tugas khas pesisir pantai (LMS), kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS) dan kapal selam ," katanya.

Menurutnya, pendekatan yang diterapkan TLDM itu mendapat perhatian daripada negara luar yang turut berminat untuk mengetahui kaedah itu dan bercadang melaksanakannya ekoran turut terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi global.

Dalam pada itu, pemerkasaan modal insan di kalangan anggota TLDM atau 'The Navy People' turut diberikan tumpuan khusus bagi memastikan setiap anggota memiliki jati diri yang kukuh dan berintegriti.

Ahmad Kamarulzaman berkata konsep 'Navy People' mewujudkan semangat kekitaan dan rasa bangga terhadap perkhidmatan yang disanjungi, secara tidak langsung mempertahankan matlamat kewujudan TLDM dalam menentukan anggotanya sentiasa bersemangat dan bermotivasi.

Beliau berkata TLDM yang kini mempunyai 17,044 pegawai dan anggota turut bercadang menambah bilangan itu terutama daripada kalangan bukan Bumiputera dan usaha merekrut sedang dilaksanakan.

"Malah, kita juga mewujudkan strategi dan inisiatif tambahan mengoptimumkan media sosial serta mendapatkan bantuan badan bukan kerajaan untuk menarik  minat bangsa lain menyertai TLDM,"katanya.

Sambutan Hari TLDM 2016 bertemakan 'TLDM Siap Siaga, Perairan Terpelihara' yang akan disambut pada Rabu ini di semua Pangkalan TLDM, pastinya akan menginjak pasukan itu ke dimensi baharu dalam mengharungi liku-liku hari ini untuk terus membela samudera pada masa akan datang.

TLDM, Navy, Tentera Laut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain