suria

Ashran Ghazi Dilantik CEO Baharu MaGIC

Ashran Ghazi.

PETALING JAYA: Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) mengumumkan pelantikan Ashran Ghazi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu berkuat kuasa pada 1 Mei depan.

Ashran mengambil alih jawatan tersebut bagi menggantikan Cheryl Yeoh yang meninggalkan MaGIC sejak Januari lalu.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan dan CIS) dari Universiti Michigan itu memulakan kariernya dalam sektor minyak dan gas dengan Petronas MITCO.

Pada masa sama, beliau merupakan tokoh terkemuka yang menyumbang kepada pembangunan ekosistem keusahawanan dan memegang beberapa jawatan penting termasuk Pengerusi New Entrepreneurs Foundation (NEF) dan Timbalan Pengerusi Yayasan Inovasi dan Keusahawanan Global (GIEF).

Selain itu, Ashran juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Akademi Pembangunan Industri Kecil, Sederhana dan Keusahawanan Malaysia (MASMED).

Pada 2011, beliau memulakan projek Joota, salah satu projek laman sosial yang menerima suntikan pelaburan swasta sebanyak AS$2.1 juta (RM8.2 juta).

Malah, beliau turut mengusahakan pusat pemangkin untuk sektor kreatif, dan turut memperkenalkan anugerah untuk startup di rantau ASEAN, dinamakan Rice Bowl Start-up Awards.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah yang juga Pengerusi MaGIC yakin Ashran berupaya memacau pusat tersebut ke tahap tertinggi dan memenuhi mandat yang diberikan dalam meningkatkan lagi ekosistem keusahawanan serta penglibatan usahawan tempatan di rantau ini dan juga peringkat global.

Ashran Ghazi, MaGIC

Artikel Lain