suria

PM Kesal Tindakan Segelintir Pihak Racuni Rakyat, Burukkan Kerajaan

Najib bersama Buku Laporan selepas majlis pelancaran Laporan Tahunan 2015 Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) malam Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berasa amat kesal dengan tindakan segelintir pihak yang meracuni, menghasut dan mempengaruhi fikiran rakyat dengan cara memburuk-burukkan negara serta cuba menjatuhkan pemipin secara tidak demokratik.

Perdana Menteri menegaskan apa yang dinikmati negara hari ini adalah hasil mahsul perjuangan dan kegigihan kerajaan sejak berdekad-dekad lepas hinggalah ke era Dasar Transformasi Nasional.

"Berkaitan perkara ini juga, terlebih kita berasa sedih dan sayang seribu kali sayang, yang turut terheret dalam kancah ini, adalah bekas-bekas para pemimpin dan negarawan.

"Tidak cukup dengan itu, sehingga mereka sanggup memperlekeh negara sendiri dan meminta campur tangan kuasa asing. Sedangkan satu masa ketika dahulu, orang itulah yang menyebut biar Malaysia ini ditentukan rupa dan bentuknya dengan acuan kita sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015 yang dikeluarkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di Angkasapuri di sini, malam Selasa.

Pelancaran itu disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia.

Meskipun begitu, katanya, beliau tetap memilih untuk berjiwa besar dan memimpin kerajaan, tetap berdiri tegak, memandang ke hadapan dan mara selangkah demi menjayakan rencana kemajuan negara.

Najib yang juga Menteri Kewangan menjelaskan sejak mengambil alih jawatan perdana menteri, beliau telah membuat ketetapan bahawa kerajaan perlu bergerak kehadapan untuk membina negara yang mempunyai ekonomi yang berdaya tahan, mampan dan inklusif untuk rakyat bertunjangkan falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Maka yang demikian, berilah peluang dan waktu kepada kerajaan yang ada pada hari ini untuk mewajah dan mewarnakan masa depan, menurut rancangan yang kita telah tentu dan sudah tetapkan.

"Apa yang penting, jangan sesekali kita alpa, kalau kita leka dan termakan dengan angkara-angkara serta anasir-anasir negatif, semuanya boleh lenyap dan punah dalam sekelip pejaman mata," katanya.

Perdana Menteri berkata dengan berpaut kepada prinsip tawaduk, kerendahan hati lagi bertawakal, beliau bersama-sama timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta anggota jemaah pentadbiran yang lain, tidak mungkin dapat melakukan apa yang ada hari ini tanpa sokongan, dokongan dan kefahaman rakyat.

Lantaran itu, katanya, apa yang paling baik adalah rakyat dan kerajaan harus saling dekat mendekati, damping-mendampingi, dalam menaruh yakin serta percaya terhadap komitmen juga inisiatif-inisiatif kerajaan selama ini.

Najib mengingatkan sesetengah pihak bahawa sebagai sebuah negara yang berdaulat, merdeka dan berundang-undang, mereka tidak boleh berbuat sesuka hati dengan mengajak rakyat bertindak di luar batas-batas undang-undang, kedaulatan undang-undang dan apa yang telah dimaktubkan dalam perlembagaan.

"Ini termasuklah dengan mengadakan deklarasi-deklarasi dan membuat referendum dengan tujuan tidak baik di mana semua ini salah di sisi undang-undangm," katanya.

Dalam hal itu, katanya, kerajaan mengambil jalan tidak mahu terganggu oleh hal-hal yang membuang masa serta tidak membawa apa-apa faedah itu dan akan terus menjalankan amanah lebih besar yang dimandatkan iaitu menumpukan sepenuh jiwa memacu serta menjulang Malaysia ke persada yang dijanji-janjikan.

"Inilah sikap, inilah pendirian, inilah tekad kerajaan Barisan Nasional sejak dulu lagi...yang bersungguh-sungguh menyemai benih-benih subur, di mana sekarang, hari demi hari, makin tumbuh dengan buah-buah kemajuan yang segar dan ranum bagi dinikmati oleh rakyat seluruhnya," katanya. - BERNAMA


Najib Tun Razak, NTP 2015

Artikel Lain