suria

PRN Sarawak: Apai Nan 'Si Pencuri Hati'

PERBUALAN santai dengan seorang pemuda berbangsa Iban yang tidak begitu berminat dengan politik sedikit sebanyak membantu memahami senario di peringkat akar umbi antara rakyat dan pemimpin di Sarawak.

Apa yang boleh disimpulkan, segala pandangan yang diberikan lebih terbuka, bebas dan jujur khususnya ketika bercerita mengenai figura popular, Tan Sri Adenan Satem atau panggilan mesra di kalangan warga media, Tok Nan.

Bagi Mohd Zamini yang bekerja di sebuah hotel di Kuching, dia mengakui tidak pernah mendengar ceramah politik atau ucapan Adenan secara langsung melainkan melalui laman sosial seperti Youtube.

Adenan, 72, katanya umpama ‘apai’ yang suka berjenaka dan pandai mengambil hati rakyat Sarawak dengan pelbagai pendekatan positif dalam tempoh dua tahun mentadbir negeri ini.

Dalam bahasa Iban, apai bermasud ayah.

“Beliau pandai bergurau, pandai ambil hati orang Sarawak. Sebab itu orang suka dengannya,” kata Mohd Zamini bagaikan terpaut hati dengan gaya pemimpin negeri itu.

Nampaknya pandangan pemuda itu ada kebenarannya. Ketika menghadiri majlis pertemuan khas Adenan bersama media pada Selasa malam, beliau begitu tenang melayan pelbagai pertanyaan yang diajukan.

Di sebalik perwatakan yang serius, sesekali senyuman yang terukir di wajah Adenan mengundang kilauan bagai flash kamera yang tertumpu ke arahnya.

Walaupun dihujani dengan pelbagai soalan serius khususnya membabitkan masa depan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11, Adenan menyambutnya dengan jenaka tersirat.

“Saya kini dapat tidur dengan baik, malah lena seperti seorang bayi terutamanya selepas isu pembahagian kerusi diselesaikan.

"Sebelum ini saya agak bimbang, tapi sekarang saya boleh tidur lebih baik,” katanya ketika ditanya mengenai peluang BN untuk kembali membentuk kerajaan dengan majoriti yang lebih besar.

Adenan sendiri mengakui menyedari mengenai tahap popularitinya yang dikatakan menjadi faktor jika BN berjaya mengekalkan kemenangan pada 7 Mei depan.

Namun pada masa sama beliau turut melahirkan kebimbangan sama ada berjaya menzahirkan popularitinya itu menerusi kertas undi atau sebaliknya.

"Saya tidak boleh bertanding di semua 82 kerusi sekali gus, jadi rakyat perlu membuat keputusan mengenai siapa yang akan menjadi Ketua Menteri Sarawak, bukan Perdana Menteri Malaysia.

"Jika anda mahu saya teruskan tugas sebagai ketua menteri, anda perlu mengundi 81 ahli pasukan saya yang menggunakan simbol BN.

“Namun saya ingin memohon maaf kerana membuat keputusan yang mungkin tidak dapat menggembirakan semua orang, tetapi anda tidak boleh mengharapkan saya meletakkan malaikat sebagai calon, " katanya ketawa.

Pada akhir sesi pertemuan itu Adenan sempat bergurau dengan petugas media sambil berkata: "Jangan lupa untuk memasukkan fakta bahawa saya adalah ketua menteri yang paling tampan “.


Adenan Satem, PRN Sarawak, Iban

Artikel Lain