suria

Ibu Tunggal Didakwa Dera Anak Sehingga Lebam

KUALA LUMPUR: "Dia degil, hari-hari degil," kata seorang wanita yang menghadapi pertuduhan mencederakan anak lelakinya berumur tujuh tahun di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.  

Wong Woan Yin, 43, berkata demikian di hadapan Majistret Husna Dzulkifly ketika jurubahasa bertanya sama ada dia mengaku bersalah atau tidak terhadap pertuduhan mencederakan anak lelakinya pada Selasa minggu lalu. 

Ibu tunggal itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Wong, kerani akaun sambilan didakwa mencederakan anaknya hingga lebam dileher dan calar di belakang di dalam sebuah kenderaan di tepi jalan kawasan Bukit Jalil, dalam perjalanan ke sebuah kondominium di Cheras, di sini antara 7 malam hingga 8 malam, 19 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.  

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar menawarkan jaminan RM10,000dengan seorang penjamin dan memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak menganggu saksi pihak pendakwaan dan mangsa kes itu. 

Peguam Mohamad Zaidi Othman bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan wangjaminan yang lebih munasabah mengambil kira anak guamnya merupakan ibu tunggal yang mempunyai dua anak dan baharu sahaja mendapat pekerjaan. 

Majistret Husna membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa atau saksi pihak pendakwaan. 

Mahkamah menetapkan 26 Mei untuk sebutan semula kes. -Bernama

ibu tunggal, dera anak

Artikel Lain