JOHOR BAHARU: Murid Tahun Satu yang dipatuk ular di tandas Sekolah Kebangsaan Kota Masai di sini semalam pernah memberitahu ibunya dia tidak mahu ke tandas kerana takut dipatuk ular. Ibunya Hajar Norhafiza Ismail, 30, berkata anak sulungnya itu Muhammad Ar-Rayyan Nazhan Mohd Nasrul, 7, berkata dia merasa takut kerana kawannya pernah memberitahu melihat ular di tandas sekolah. "Sehari sebelum kejadian, anak saya ada memberitahu yang dia sanggup tidak ke tandas kerana ada rakannya yang memberitahu melihat ular," katanya kepada pemberita di Hospital Sultan Ismail Khamis. Beliau berkata beliau dihubungi pihak sekolah kira-kira 3.30 petang semalam dan pihak guru turut datang ke rumahnya untuk menghantar barang-barang sekolah anaknya. Beliau lalu segera ke Klinik 1Malaysia untuk melihat anaknya. "Saya melihat bibir anak saya bertukar sedikit kebiruan. Pihak klinik kemudian memindahkan anak saya ke hospital bagi menerima rawatan susulan," kata pekerja kilang ini. Hajar Norhafiza bersyukur anaknya kini berada dalam keadaan stabil setelah dipatuk ular yang dipercayai jenis tidak berbisa. Guru kelas mangsa, Nurul Shazlina Abdul Aziz yang menghantar murid tersebut ke klinik berkata selepas dipatuk, murid tersebut berlari ke kelasnya di tingkat dua sambil menangis. Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P.Kamalanathan yang melawat Muhammad Ar-Rayyan Nazhan di hospital memuji tindakan pantas pihak sekolah yang membawa murid berkenaan ke klinik.