suria

Terdetik Di Hati Menjadi Realiti

ASSALAMUALAIKUM.  Seringkali kita dengar daripada mereka yang berpengalaman menunaikan ibadat umrah atau haji agar menjaga mulut, tutur kata atau percakapan kita sepanjang mengerjakan ibadat berkenaan di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

Ini kerana, setiap yang diperkatakan adalah doa dan semua sedia maklum, doa yang dipanjatkan kehadrat Ilahi, terutama di Tanah Suci cepat dikabulkan. Justeru, apabila kita dipilih untuk menjadi tetamu Allah SWT, berhati-hatilah apabila menuturkan setiap perkataan dengan sesiapa sahaja. Cakap sahaja yang baik-baik, ingat yang baik-baik, insyaAllah, setiap yang datang juga menjadi terbaik.

Ketika menunaikan ibadat haji yang pertama dan kali pertama menjejakkan kaki ke Baitullah, saya sendiri melalui peristiwa yang sama. Mulut saya spontan bercakap mengenai apa yang ingin saya lihat dan Allah tunjukkan pada waktu itu juga.

Sebelum saya berangkat, ibu pernah berkata, pada setiap solat fardu ada sahaja jenazah yang perlu kita solatkan.

“Di Makkah dan Madinah nanti, Ana jangan terkejut pula sebab lepas habis solat fardu berjemaah, imam akan mengimamkan solat jenazah. ikutlah nanti. Pada setiiap waktu juga ada jenazah yang akan diusung keluar untuk dikebumikan,” pesan ibu.

“Oh ye ke? insha Allah, Ana solat sekali nanti,” sambil bertanya kepada bapaku mengenai solat jenazah.



Setiba di Madinah dan seterusnya ke Makkah. Betul kata ibuku, solat jenazah pada setiap waktu tetapi diriku masih tertanya-tanya tidak sekali pun melihat jenazah diusung ke van jenazah sebelum disemadikan.

Terdetik di dalam hatiku, belum sekali pun terlihat jemaah mengusung jenazah. Lantas, saya bertanya kepada kakak rakan jemaah yang sama-sama mahu pulang ke maktab tempat penginapan kami.

“Kak pernah nampak orang ramai yang keluar masjid usung jenazah tak”? soal saya pada seorang daripada rakan jemaah.

“Pernah. Kenapa? Ana tak pernah nampak ke?” tanya kakak itu pula.

“Sekali pun tak pernah. Mungkin sebab Ana keluar lambat dari masjid,” balas saya.

“Ye. Selalu jenazah dibawa keluar awal lagi. Sejurus solat jenazah disempurnakan,” ujar kakak itu lagi dan berjalan bersama-samaku untuk pulang ke maktab penempatan kami.

Tidak sampai lima minit saya bercakap, saya terlihat jenazah diusung satu persatu.

“Masya Allah…” ujar saya spontan. 

Baru tadi saya cakap, sekarang saya dah nampak. Saya bukan sahaja nampak jenazah diusung pada hari saya melafazkan kata-kata itu tetapi mulai saat itu hingga hari saya berangkat pulang, sama ada ketika solat Subuh, Zuhur Asar, Maghrib ataupun Isyak.

Namun, saya tidak pula sesal dengan perkataan yang saya keluarkan itu malah bersyukur kerana diberi kesempatan untuk melihat jenazah dibawa keluar dari Masjidil Haram ke van jenazah yang sedia menunggu ke tempat pengkebumian.

Malah, permintaan juga dikabulkan serta-merta walaupun tanpa kita sengaja menginginkannya. Ketika itu, saya dan kak Shahrizad baru pulang menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjidil Haram dan hidung saya terhidu bau nasi beriani.

Perut saya memang lapar ketika itu dan mahu bergegas pulang ke penginapan bagi menikmati hidangan makan malam.

“Kak, sedapnya ada bau nasi beriani. Entah dari mana datangnya bau itu ye kak. Tekak Ana tiba-tiba terasa nak makan nasi beriani pula,” ujar saya tertawa kecil.

“Kesiannya. Dah lapar sangatlah tu. Tak apalah, sekejap lagi sampailah kita ke hotel,” balas kak Shahrizad.



Tiba-tiba kami terdengar suara seorang lelaki menyapa.

“Assalamualaikum,” ucap lelaki itu.

“Waalaikumsalam,” ramai yang menyambut salamnya yang datang dari arah belakang.

Semua menoleh dan lelaki itu datang ke sisi kiri saya dan memberi saya sebuah bungkusan.

“Eh apa ni haji?” tanya saya kehairanan.

“Ambillah ni. Nasi beriani…” balasnya ringkas sambil tersenyum.

“Tak mengapalah haji. Terima kasih saja. Saya nak sampai hotel,” balas saya lagi.

“Tak mengapa. Ambil ni. Saya pun ada lagi. Tadi ada orang sedekah,” ujarnya terus.

“Alhamdulillah. Terima kasih banyak haji,” ucap saya.

Masya Allah, saya memang terkejut dan tidak sangka rezeki datang secara tiba-tiba. Apa yang saya hajati Allah penuhi.

Kisah ibu sauadara saya, Zakiah, yang kehilangan anak tunggalnya, Shahida, berusia tiga tahun ketika itu menarik perhatian saya dan mahu saya kongsikan bersama-sama pembaca sekalian.

Ketika itu, ibu saudara saya menunaikan umrah pada hujung November 1993 bersama-sama suami, anak mereka, arwah nenek saya, ipar duai ibu saudara saya dan sepasang suami isteri kenalan rapat ibu saudara saya. Kejadian itu berlaku di Madinah Munawwarah dan sehari sebelum mereka berangkat ke Makkah untuk menyempurnakan ibadat umrah.

"Ketika itu cik Nah (panggilan untuk ibu saudaraku) baru sahaja hendah makan malam selepas pulang dari solat Isyak. Hati Cik Nah tidak sedap dan terasa ada sesuatu yang berlaku pada Shahida.

"Jadi, tak sempat hendak makan tetapi terus bergegas ke bilik hotel untuk melihat anak tetapi terkejut apabila melihat dia tiada. Selepas itu, Cik Nah pergi pula ke bilik ipar tetapi Shahida tiada juga di situ,” ujar Cik Nah.

Melihatkan Shahida tiada di dalam kedua-dua bilik, Cik Nah dan Pakcik Osman mula bertanya pada rakan-rakan jemaah lain dan lebih membimbangkan apabila mereka mengatakan tidak nampak anak kecil itu.

Bagaimanapun, Cik Nah difahamkan oleh anak-anak saudara Pakcik Osman bahawa Shahida mahu membuang air kecil dan mereka suruh dia ke tandas sendiri. 

“Rupa-rupanya Shahida bukan ke tandas di dalam bilik hotel tetapi keluar dari hotel itu kerana  tersilap pintu keluar masuk. Tanpa berlengah, Cik Nah terus capai lencana sendiri dan lencana Shahida untuk mencarinya. Cik Nah naik ke setiap tingkat tanpa menggunakan lif. Setiba di paras bawah, Cik Nah terus keluar dan berjalan menuju ke kedai tamar yang sering menjadi perhatian Cik Nah dan keluarga,” katanya panjang lebar.

Setelah tiba di kedai tamar,Cik Nah terus bertanya pada peniaga tamar adakah dia terlihat anak kecil singgah di situ dan peniaga mengatakan ternampak seorang kanak-kanak perempuan yang kemudiannya meminta kurma daripadanya.

Menurut peniaga itu, anak kecil itu sempat mengeluarkan perkataan halal selepas diberi kurma dan terus berlalu meninggalkan kedai tamar itu. 



“Cik Nah kemudiannya berjalan terus ke Masjid Nabawi sambil mata terus memerhati. Cik Nah angkat tangan dan berdoa agar Allah kembalikan Shahida kepada Cik Nah. Tiba-tiba dalam deretan bazar menuju ke masjid, Cik Nah ternampak seorang kanak-kanak tercegat di depan kedai pakaian.”

“Cik Nah menangis mendakap Shahida dan bertanya macam mana dia ada di tempat itu,” ujar ibu saudaraku lagi.

Menurut Cik Nah, Shahida mengatakan ada orang berjubah putih pimpin tangan anaknya dan meletaknya di depan bazar berkenaan.

Cik Nah menangis gembira dengan penuh kesyukuran kerana Shahida ada di depan matanya. Kehilangan anak tunggal kesayangan pasangan itu di Tanah Suci Madinah kekal dalam ingatan walaupun Shahida sekarang sudah berusia hampir 26 tahun.

Walaupun Cik Nah hanya terdetik di dalam hati terhadap sesuatu yang sedang berlaku pada anaknya, ia menjadi kenyataan tetapi berkat doa seorang ibu apatah lagi di Tanah Suci, Allah makbulkan permintaannya dengan serta merta.

Pasti banyak kisah yang pernah anda sendiri lalui ketika berkunjung ke Tanah Suci sebagai tetamu Alalh untuk menunaikan ibadat umrah mahupun haji. ikuti perkongsian saya menerusi ruangan ini pada minggu hadapan, insyaAllah.



Baitullah, solat jenazah, jemaah

Artikel Lain