suria

Sembilan Pemancing Terselamat Selepas Bot Karam

M.Chandra

KOTA KINABALU: Sembilan pemancing termasuk tujuh rakyat Hong Kong berjaya diselamatkan selepas bot dinaiki mereka karam setelah dipukul ombak besar di hadapan perairan Sutera Harbour, di sini petang Jumaat.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M.Chandra berkata dalam kejadian pada kira-kira 4 petang itu, kesemua mangsa yang berusia antara 32 dan 60 tahun berjaya diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM).

"Dua daripada mangsa mengalami kecederaan masing-masing di perut dan kaki. Namun kedua-duanya dalam keadaan stabil dan hanya menerima rawatan biasa manakala mangsa yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, ketika kejadian kesemua mangsa sedang dalam perjalanan pulang menuju ke jeti Sembulan selepas selesai memancing, sebelum dipukul ombak besar berikutan angin kencang.

Katanya, juragan gagal untuk mengelak menyebabkan bot berkenaan terbalik.

"Kesemua mangsa berpaut di atas belakang bot yang terbalik selama lebih kurang 20 minit sebelum diselamatkan pasukan peronda PPM yang sedang melakukan operasi di kawasan berkenaan," katanya.

Chandra berkata kesemua mangsa, dibawa ke pangkalan PPM Kota Kinabalu untuk diberi rawatan oleh ambulans yang bekejar ke tempat kejadian pada kira-kira 5.20 petang.-Bernama

Bot karam, pemancing

Artikel Lain