suria

Usul Pecat Muhyiddin, Mukhriz Dibentang Selepas PRN Sarawak - Nazri

Mohamed Nazri Abdul Aziz

KUCHING: Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz akan mengemukakan usul pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir daripada Umno pada mesyuarat MT parti itu, yang dijadualkan selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11.

Beliau berkata tindakan Muhyiddin yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dan Mukriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah untuk bersekongkol dengan parti pembangkang sedangkan mereka masih anggota Umno, adalah melanggar prinsip Umno. 

"Kebebasan bersuara yang diberikan Umno kepada mereka selama ini telahdisalahgunakan dan ia sudah cukup untuk membuktikan kesalahan mereka berdua," katanya pada persidangan berita di sini, Jumaat.

Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata Umno mengamalkan demokrasi dan membenarkan anggotanya mengkritik namun, kritikan Muhyiddin dan Mukhriz telah melampaui batasan.

"Selepas pilihan raya negeri ini, kita akan adakan mesyuarat dan saya sendiri akan mengusulkan supaya kedua-dua mereka dipecat. Kita perlu ambil tindakan," katanya. 

Nazri diminta mengulas tindakan Muhyiddin, Mukhriz dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghadiri siri ceramah bertajuk  'Bicara Isu Semasa Selamatkan Malaysia' di Jitra, Kedah pada Khamis. 

Ditanya mengenai tindakan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menghalang kemasukan individu tertentu ke Sarawak, beliau berkata tindakan itu wajar demi menjaga keharmonian di negeri ini. 

Keharmonian di Sarawak pada masa ini perlu diteruskan untuk menjamin kemajuan ekonomi yang berterusan, katanya.

"Jika kita lihat suasana kempen pilihan raya negeri kali ini, ia dijalankan dengan begitu tenang dan bertamadun sekali tanpa kejadian tidak diingini berlaku, jadi mereka ini perlu dihalang daripada menghasut rakyat Sarawak," katanya. -Bernama

usul pecat Muhyiddin, Mukhriz, Nazri

Artikel Lain