suria

Kerajaan Pertimbang Laksana Sistem Insurans Pekerja - Najib

Najib hadir pada majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2016 di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada Ahad. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan Sistem Insurans Pekerja (SIP) untuk menambah baik perlindungan sosial pekerja dan memudah cara pihak majikan menjalankan perniagaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perkara tersebut sedang dirumus secara terperinci melalui perbincangan dengan pihak majikan, pekerja serta pihak berkaitan.

"Sistem Insurans Pekerja kita sedang rumus butirannya, tetapi ia merupakan perkongsian antara tanggungjawab majikan dan pekerja, butirannya akan diumum selepas selesai proses pertemuan dengan semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2016 yang bertemakan 'Pekerja Berkemahiran Penggerak Ekonomi' di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad.

Terdahulu, ketika berucap Najib berkata SIP bertujuan membantu golongan pekerja yang diberhentikan dengan menampung perbelanjaan mereka dalam tempoh mencari pekerjaan selepas diberhentikan, sekaligus mengurangkan kesusahan dan kemiskinan akibat kehilangan pendapatan.

Menurutnya SIP juga menyediakan perkhidmatan kaunseling pekerjaan bagi meningkatkan peluang untuk pekerja yang diberhentikan ini mendapat pekerjaan yang sesuai.

Najib berkata bagi majikan pula, latihan semula yang disediakan melalui SIP dapat meningkatkan kemahiran pekerja serta memudahkan pihak majikan menggaji pekerja yang mempunyai set kemahiran yang sesuai.

"SIP memberi ruang kepada majikan untuk menyesuaikan organisasi mereka dengan sebarang perubahan teknologi dan struktur perniagaan serta mengurangkan tekanan akibat kebankrapan atau pengecilan operasi," katanya.

Menurutnya risiko konflik akibat pemberhentian kerja dapat dikurangkan kerana SIP akan memberi perlindungan kepada pekerja.

Beliau berkata pelaksanaan SIP merupakan antara ciri terpenting dalam mewujudkan dasar pasaran buruh aktif (ALMP) di Malaysia.

"Ketersediaan program perlindungan sosial yang proaktif bagi membantu warga pekerja dan pihak majikan mendepani cabaran ekonomi dunia bukan lagi satu pilihan, tapi satu kemestian," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain