suria

24,604 Pemilih Mengundi Awal Selasa Ini - SPR

KUCHING: Sejumlah 24,604 pemilih terdiri daripada anggota keselamatan serta pasangan mereka akan mengundi awal di 79 pusat pengundian bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11), Selasa ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata proses itu menggunakan 100 saluran mengundi dan akan bermula 8 pagi hingga 5 petang.

Bagaimanapun, jumlah itu tidak melibatkan 418 pengundi awal di dua  kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) - Bukit Kota dan Bukit Sari yang tidak dipertandingkan.

Kertas undi berkenaan hanya akan dikira mulai jam 4 petang pada hari pengundian biasa (7 Mei) yang dilaksanakan secara berkelompok di tempat pengiraan undi ditetapkan oleh SPR, katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Beliau berkata, dakwat pilihan raya akan digunakan bagi proses pengundian awal dan ia akan dijalankan mengikut kaedah pengundian biasa oleh petugas SPR.

Abdul Ghani berkata, daftar pemilih PRN-11 sebanyak 1,138,650 orang  terdiri daripada 1,113,522 pemilih biasa, 25,022 pemilih awal dan 106 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Menurutnya, daftar pemilih yang akan digunakan ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2015 yang dikemaskini sehingga 10 April 2016.

Katanya, ejen-ejen calon bertanding boleh menyaksikan proses pengundian awal manakala pemerhati tempatan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga boleh berbuat demikian dengan kebenaran pihak tentera dan polis.

PRN-11 menyaksikan perebutan 82 kerusi DUN termasuk 11 kerusi baharu. 

Pada hari penamaan calon, 25 April lepas, BN telah menang tanpa bertanding di Bukit Kota melalui penyandang Abdul Rahman Ismail dan kerusi DUN Bukit Sari oleh penyandang Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan. - Bernama

SPR

Artikel Lain