PETALING JAYA: Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) mulai sesak pada Isnin berikutan orang ramai sudah kembali pulang ke destinasi masing-masing selepas cuti sempena Hari Pekerja di hujung minggu. Menurut Plus Trafik, laluan mula sesak dari Changkat Jering ke Kuala Kangsar, Terowong Menora menuju Jelapang dan Sungkai ke Slim River setakat pukul 12 tengah hari Isnin. Trafik juga perlahan dari Simpang Pulai menuju ke kawasan Rehat & Rawat Simpang Pulau, Gopeng ke Bidor, Port Dickson ke Seremban, Machap ke Ayer Hitam dan Simpang Ampat menuju Hentian Pedas Linggi. Sementara itu, kesesakan luar biasa dilaporkan berlaku di Cameron Highlands di Tanah Rata ke Brinchang dengan kelewatan dijangka selama sejam. Menurut Star Trafik, beberapa laluan utama di Lembah Klang iaitu LDP, NKVE, SPRINT, ELITE, Kerinchi Link dan Lebuhraya Persekutuan masih dalam keadaan terkawal. Aliran trafik di Tambak Johor dilaporkan lancar di kedua-dua arah antara Malaysia dan Singapura.