suria

El Nino Rangsang Pembiakan Itik Serati

IPOH:Cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino yang melanda negara kini telah menjejaskan sektor pertanian dan perikanan, namun, keadaan sebaliknya terjadi kepada penternak itik serati di sini.

Seorang penternak, Faizal Effendi Hashim, 36, berkata ternakan itik serati jenis 'Muscovy' atau itik daging yang diusahakannya di Parit sejak dua tahun lalu semakin menjadi-jadi ketika cuaca panas sekarang.

"Kebiasaannya seekor ibu itik mampu bertelur sehingga 20 biji, tetapi daripada jumlah itu, kurang 10 biji yang berjaya menetas dan membesar. 

"Tetapi berbeza dengan cuaca panas sekarang daripada 20 biji telur yang dikeluarkan, sebanyak 19 biji mampu menetas, hidup dan membesar," katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Menurut Faizal, setiap minggu beliau mampu menjual sehingga 120 ekor itik, namun jumlah itu masih belum mencukupi untuk menampung permintaan pasaran di Perak.

"Permintaan itik daging ini amat tinggi di Johor dan Singapura terutama dalam kalangan pelanggan berbangsa Cina kerana mereka lebih sukakan tekstur dagingnya," katanya.

Beliau berkata itik serati memerlukan masa enam bulan untuk membesar sepenuhnya sebelum dijual di pasaran, berbanding ayam yang hanya memerlukan 34 hingga 40 hari. 

Bagaimanapun, nasib berbeza dialami penternak ayam daging, Hafizi Abdullah, 28, yang mendakwa kadar kematian ayam ternakannya sedikit meningkat, walaupun menggunakan sistem reban tertutup.

Hafizi berkata sebanyak lapan peratus daripada 40,000 ekor ayam ternakannya mati pada cuaca panas ketika ini berbanding hanya dua atau tiga peratus pada cuaca biasa.

Beliau berkata ayam yang berusia satu hari memerlukan suhu sehingga 35 darjah Celsius dan suhu akan menurun mengikut usia ayam tersebut, manakala ayam dewasa memerlukan suhu 25 darjah Celsius atau lebih rendah.

"Walaupun suhu reban ayam tertutup boleh dikawal, namun kesejukan yang diperlukan sukar diperoleh pada waktu kemuncak iaitu antara 12 tengah hari dan 4 petang hingga menyebabkan ayam mati akibat kepanasan," katanya. 

Hafizi berkata selain kos penternakan meningkat, kos operasi seperti elektrik, air, penyelenggaraan turut melonjak pada musim panas sekarang. 

"Bil elektrik dan bil air boleh mencecah sehingga RM11,000 dalam setiap dua bulan dan jumlah itu tidak termasuk kos penyelenggaraan dan gaji pekerja," katanya. 

Pada 21 April lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata cuaca panas yang melanda negara menyebabkan ayam mengalami 'stress' kerana proses pembesarannya terbantut sekaligus dikhuatiri menyebabkan pengeluaran ayam negara berkurangan antara lima hingga 10 peratus.-- Bernama

El Nino, Muscovy, itik serati

Artikel Lain