suria

"Adakah Kamu Dengar Apa-Apa Berita?" - Tanya Isteri Ahli Parlimen Kuala Kangsar

Mastura sempat bertanya kepada pemberita tentang perkembangan mengenai insiden itu.

KUALA LUMPUR: Isteri kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad berangkat ke Kuching, Sarawak sebaik sahaja mengetahui berita serpihan helikopter yang dinaiki suaminya ditemui.

Datin Mastura Mohd Yazid, 55, meninggalkan kediamannya di sini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama anak lelakinya, Wan Iskandar Wan Mohammad Khairil,21, kira-kira pukul 11.45 tengahari.

Mastura yang kelihatan sedih sebelum menaiki kenderaan sempat memeluk erat bapanya Datuk Mohd Yazid Baba yang mengiringinya ke kereta yang sedang menunggu (gambar).

Beliau juga sempat bertanya kepada pemberita tentang perkembangan mengenai insiden itu.

"Adakah kamu mendengar apa-apa berita," katanya dalam nada sedih.

Sementara itu pegawai khas Wan Mohammad Khair-il, Abd Wahab Osman ketika ditemui berkata seorang lagi anak lelakinya, Wan Imar, 24, dijangka tiba dari London malam ini.

Dua lagi anak lelakinya, Wan Emir, 26 dan Wan Amar,19 sedang menduduki peperiksaan di London.

Abd Wahab berkata kali terakhir beliau berhubung dengan Wan Mohammad Khair-il Anuar adalah pada pagi Khamis kira-kira pukul 11 pagi atas urusan kerja.

Katanya, pihak keluarga kini sedang menunggu perkembangan terkini dari bilik gerakan di Kuching bagi menentukan tindakan selanjutnya yang akan dilakukan.

Dalam pada itu suasana di kediaman Wan Mohammad Khair-il Anuar suram ketika serpihan helikopter yang dinaikinya ditemui berhampiran Sungai Batang Lupar kira-kira pukul 9.50 pagi Jumaat.

Helikopter, Sarawak

Artikel Berikut

Artikel Lain