suria

Najib Sertai Jemaah Solat Jenazah Allahyarham Noriah

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara pemimpin yang turut menunaikan solat jenazah Allahyarhamah Datuk Noriah Kasnon yang terkorban dalam nahas helikopter di masjid Pangkalan Udara Kuching, Jumaat malam. Foto Bernama

KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan jemaah lain menyempurnakan solat jenazah mangsa tragedi helikopter, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon di Surau Al-Jahirah, Pangkalan Udara Kuching di sini, Jumaat malam.

Turut sama menunaikan solat jenazah timbalan menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan anggota keluarga Noriah.

Jenazah kemudian diterbangkan ke Pangkalan Udara Subang, Selangor menggunakan pesawat tentera.

Adik angkat Noriah, Datuk Zaini Taha berkata, jenazah akan dikebumikan Jumaat malam atau Sabtu di Kampung Sungai Burung, Tanjung Karang, Selangor.

"Ia bergantung kepada waktu jenazah tiba di Subang. Kalau awal kita kebumikan malam ini, kalau tak sempat, esok pagi," katanya kepada Bernama.

Noriah merupakan mangsa pertama yang ditemukan selepas pesawat Eurocopter AS350 yang dinaiki bersama lima lagi dari Betong ke Kuching, hilang petang Khamis.

Jasadnya ditemukan di kawasan pencarian awal helikopter terbabit di Sungai Batang Lupar dekat Sebuyau, tengah hari Jumaat.

Selain Noriah, turut menaiki helikopter sama ialah suaminya, Asmuni Abdullah dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar, yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas turut menaiki pesawat malang itu. - Bernama

Noriah Kasnon

Artikel Lain