suria

"Nak Ke Awan" - Perbualan Noriah Kasnon

SABAK BERNAM: "Nak terbang ke mana, datuk.

"Nak ke awan."

Itu adalah perbualan di Facebook antara Datuk Noriah Kasnon dan salah seorang daripada pengundi, sebelum beliau memulakan perjalanan ke Sarawak pada Rabu.

Saiful Bahari Yusof yang merupakan pegawai di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabak Bernam berkata, dia menyoal demikian selepas Noriah memuat naik status dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

"Saya masih ingat beliau menulis tentang perasaan pelbagai rasa di laman Facebook beliau sebelum ini.

"Itulah yang mendorong saya untuk bertanya ke mana beliau akan terbang. Beliau menjawab akan terbang 'ke awan'.

"Beliau seorang pemimpin yang sangat mesra dan mudah didekati," katanya ketika ditemui di luar rumah Noriah di sini, Jumaat.

Saiful Bahari berkata, Noriah sepatutnya menghadiri program makan malam anjuran JPNIN di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar pada Jumaat (hari ini) dan beliau telah berjanji untuk menghadirinya.

"Program ini sepatutnya pada 26 April lalu tetapi Noriah menangguhnya ke hari ini kerana sibuk berkempen untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak.

"Beliau juga memberitahu pihak atasan JPNIN untuk berusaha menghadiri program berkenaan atau menghantar wakil sebelum berlepas ke Sarawak.

Sementara itu, anak saudara Noriah, yang enggan dikenali memberitahu, dia berada di rumah Ahli Parlimen itu untuk menjaga anak bongsunya yang berusia tiga tahun.

"Anak-anaknya yang lain dalam perjalanan ke Sarawak. Jadi, saya menjaga anaknya yang diuruskan oleh pembantu rumah sambil mengawasi rumahnya," ujarnya

Artikel Lain