GEORGE TOWN: Proses merekod keterangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung isu pembelian banglo dan penjualan tanah di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang selesai pada Sabtu. Peguam yang mewakili Lim, R.S.N Rayer berkata, proses merekod keterangan ketua menteri itu yang bermula semalam selesai hari ini dan pihaknya dimaklumkan Guan Eng akan dipanggil semula jika ada keperluan. "Saya difahamkan oleh pegawai SPRM kalau diperlukan mereka akan maklumkan dan mungkin akan ada satu sesi lagi. Buat masa ini selesai. "Kalau ada apa-apa perkembangan SPRM akan menghubungi kami dan memohon jasa baik ketua menteri untuk datang beri keterangan," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang, Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini Sabtu. Terdahulu, Guan Eng hadir di pejabat SPRM Pulau Pinang pada 10.05 pagi untuk direkodkan keterangan dan berakhir pada 7.45 malam. Keterangan yang direkodkan itu dipercayai berhubung pembelian banglo oleh Lim di Jalan Pinhorn dan penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin, di sini. Usaha petugas media yang menunggu di luar pejabat SPRM Pulau Pinang sejak pagi untuk mendekati Guan Eng bagaimanapun gagal. Pada Jumaat, Guan Eng dan isterinya, Betty Chew hadir di pejabat SPRM Pulau Pinang untuk direkodkan keterangan. Mereka adalah antara enam individu yang dipanggil memberikan keterangan oleh SPRM berhubung siasatan kes pembelian banglo dan penjualan tanah di Taman Manggis. Empat lagi individu yang dipanggil memberikan keterangan ialah Pegawai Khas Lim, Jeffrey Chew; seorang lelaki yang merupakan pekerja syarikat Winbond Management and Consultant Sdn Bhd; pemilik asal banglo, Phang Li Koon; dan pemilik Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn Bhd (KLIDC), Datuk Tang Yong Chew. Pembelian banglo itu dengan harga RM2.8 juta mencetuskan kontroversi apabila anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya pada persidangan Dewan Rakyat dan mendakwa harga itu di bawah nilai pasaran. Proses jual beli itu juga didakwa mempunyai kaitan dengan penjualan tanah negeri di Taman Manggis yang diperuntukan bagi pembinaan projek perumahan rakyat termiskin. KLIDC telah membeli tanah itu daripada kerajaan negeri. - Bernama