DUNGUN: "Dia suap saya, saya suap dia. Kami saling suap-menyuap. Dan tak disangka itu suapan terakhir kami," kata Mahani Ismail, 62, mengenai kelakuan cucu kesayangannya yang mati lemas di dalam lubuk ketika mereka berkelah bersama pada Jumaat. Muhammad Syafiq Abdullah, 20, dari Felda Kerteh 6 di sini mati lemas di Lubuk Kain, Sungai Bangang, Kampung Shukor, Hulu Dungun ketika berkelah bersama kira-kira 20 anggota keluarga dan rakan-rakannya 3.30 petang Jumaat. "Dia memang sungguh-sungguh ajak saya berkelah sebab sebelum ini dia dah datang, tapi tak sempat mandi. Jadi kali ni kami datang berkelah beramai-ramai termasuk ibu saudara dan sepupunya. "Pada awalnya dia hanya mandi di bawah sungai, tapi kemudian dia naik ke kawasan lubuk. Saya dah rasa tidak sedap hati. Tiba-tiba anak-anak saya ajak saya balik. Ketika itu saya tidak tahu apa-apa, bila sampai rumah baru mereka bagitau cucu saya lemas," katanya. Mahani menjaga Muhamamad Syafiq sejak kecil setelah kematian bapanya. Rakan mangsa Abu Zar Shamsuddin, 18, yang turut terjun ke dalam lubuk juga hampir lemas tetapi sempat mencapai kain tuala yang dihulurkan rakan-rakannya yang lain. "Syafiq memang dah bagi tahu kawasan lubuk ini bahaya. Tapi bila dia terjun, saya pun terjun sama. Kemudiannya saya tengok Syafiq jadi lemah sebab pusaran air dan arus lubuk agak deras. "Melihat keadaan itu, kawan-kawan hulur tuala dan saya sempat berpaut, tapi Syafiq tak dapat dan dia terus ditelan air yang berpusing," katanya. Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata mangsa ditemui tenggelam di dasar sungai kira-kira 10 meter. Beliau juga berkata terdapat pusaran air di bawah lubuk berkenaan. "Ini merupakan korban kedua di lubuk itu tahun ini setelah kejadian pertama awal bulan lepas," katanya.