suria

Nahas Helikopter: Sundaran Pernah Jadi Pengarah Eksekutif Bank Dunia

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai, 57, pernah menjadi pengarah eksekutif dalam Lembaga Pengarah Bank Dunia.

Beliau memulakan kariernya sebagai Ketua Seksyen (Pelbagaihala), Bahagian Analisa Ekonomi dan Antarabangsa, Kementerian Kewangan sebelum dilantik menjadi Ketua Sektor Fiskal dan Kewangan di kementerian sama pada 2008.

Beliau kemudiannya dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Bahagian (Antarabangsa), Bahagian Ekonomi dan Antarabangsa, Kementerian Kewangan dan seterusnya dilantik menjadi Setiausaha Bahagian, di bahagian yang sama pada Februari, 2011.

Pada November 2012, Sundaran dilantik sebagai Pengarah Eksekutif di Lembaga Pengarah Kumpulan Bank Dunia (WBG), di Amerika Syarikat.

Semasa memegang jawatan tersebut beliau mewakili Brunei, Fiji, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Nepal, Singapura, Thailand, Tonga dan Vietnam.

Sementara itu, pada November 2014 beliau dilantik sebagai Pengarah Unit Strategi Nasional sebelum menjadi Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) pada 2015 di Kementerian Kewangan.

Lulusan Doktor Falsafah daripada International Christian University, Jepun pada tahun 2004, beliau pernah menerima Anugerah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada Februari 2015.

Sundaran yang berasal dari Taiping, Perak mempunyai dua orang anak dan isteri, Datin Talagavathi R. Karapayah.

Sundran adalah antara lima yang masih hilang bersama-sama dengan helikopter yang dinaiki sejak Khamis.

Dalam insiden itu, Timbalan Menteri Perladangan Perusahaan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon terkorban.

Helikopter berkenaan berlepas dari Betong pada 4.12 petang dalam penerbangan ke Kuching dan kali terakhir berhubung dengan menara kawalan pada 4.15 petang, setelah tiga minit berlepas.

Nahas Helikopter

Artikel Lain