suria

PRN Sarawak: Ibu ‘Langgar Pantang’ Demi Undi

Zuraini Omar, 30, dipimpin ibunya Fatimah Ibrahim untuk membuang undi di SMK Tun Abang Haji Openg N.4 Pantai Damai.

KUCHING: Walaupun terpaksa dipimpin, seorang ibu yang baharu melahirkan anak lapan hari lalu tidak mahu melepaskan peluang sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang berlangsung Sabtu.

Menurut Zuraini Omar, 30, dia terpaksa ‘langgar pantang’ kerana mahu turut serta memilih wakil rakyat di kawasannya yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai.

"Mengundi adalah tanggungjawab. Saya ikut slogan satu undi adalah sangat berharga.

"Kalau anda ada rasa tanggungjawab, tunaikanlah walaupun dalam apa jua keadaan. Kena kuatkan diri," katanya ketika ditemui di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abang Haji Openg di sini, Sabtu.

Zuraini, seorang jururawat pergigian hadir ditemani ibunya, Fatimah Ibrahim, 53 yang turut mengundi di pusat pengundian berkenaan.

Dia yang dilihat memakai sarung kaki diberi keutamaan untuk membuang undi.

Tambah Zuraini, dia terpaksa bergilir-gilir dengan suaminya menjaga bayi perempuan mereka dan seorang lagi anak lelaki yang berusia setahun.

"Suami saya mengundi di Lundu, jadi pagi ini saya dan emak keluar mengundi dahulu…dia jaga anak.

"Kena bergilir-gilir. Lepas ini saya balik jaga anak dan dia pulang ke kampungnya," katanya.

Sarawak, Undi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain