suria

Abu Mendiang Sundaran Disemadikan Di Sungai Pelabuhan Klang

Keranda jasad mendiang Sundaran Annamalai diusung keluar selepas selesai upacara keagamaan dan pernghormatan terakhir oleh waris keluarga dan sahabat di kediaman mendiang di Jalan USJ 2/4Q, Subang Jaya, Ahad.Foto: Bernama

PETALING JAYA:  Abu mendiang Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak Khamis lepas, akan disemadikan di Sungai Pelabuhan Klang pada Isnin.

Upacara sembahyang mengikut kepercayaan agama Hindu diadakan sebelum jasad mendiang dibakar di Krematorium Majlis Bandaraya Petaling Jaya kira-kira 3 petang ini.

Abang mendiang, Govindasamy Anamalai berkata abu Sundaran akan disemadikan di Sungai Pelabuhan Klang esok.

Terdahulu, ratusan pengunjung termasuk anggota keluarga, kenalan rapat dan orang kenamaan hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di rumahnya di pada Ahad.

Antara mereka ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalannya Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P.Kamalanathan dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S.K Devamany.

Sundaran antara yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada Khamis lepas.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon, suami Noriah, Asmuni Abdullah; Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, manakala juruterbang helikopter itu Kapten Rudolf Rex Ragas masih hilang. -Bernama

Datuk Dr Sundaran Annamalai

Artikel Lain