KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 pada Sabtu menunjukkan kematangan rakyat negeri ini dalam berpolitik dan menolak budaya politik kebencian. Beliau berkata, keputusan kali ini menunjukkan satu iltizam rakyat Sarawak untuk melihat negeri Bumi Kenyalang sebagai sebuah negeri yang pesat membangun dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030. “Atas dasar itu, saya anggap kematangan rakyat Sarawak dalam berpolitik amat dipuji dan ini bermakna mereka telah menolak budaya politik kebencian yang sama sekali bertentangan norma kehidupan masyarakat tempatan di sini. “Rakyat Sarawak berjaya menterjemahkan kematangan politik itu melalui undi dan sebagai warga negara yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu. BN Sarawak memenangi 72 daripada 82 kerusi dalam pilihan raya negeri pada Sabtui, termasuk merampas tujuh kerusi majoriti Cina, antaranya kerusi paling panas iaitu Batu Kawah yang dimenangi Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian. Ahmad Zahid berkata, pengundi Cina di negeri ini bersikap begitu terbuka, malah menyokong pelbagai inisiatif diperkenalkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang lebih mesra dikenali sebagai Tok Nan. Kemenangan ini, katanya, menunjukkan masyarakat Cina mahukan suara mereka diwakili dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak oleh calon Cina BN, bukan hanya wakil pembangkang semata-mata. “Terima kasih kerana memberi lima tahun lagi kepada Tok Nan, saya pasti beliau akan terus memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sarawak, termasuk masyarakat Cina di sini,” katanya. Ahmad Zahid berkata, kemenangan BN Sarawak di bawah ‘Team Adenan’ juga mengukur keupayaan BN dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan bersandarkan rekod kejayaan sebelum ini. “Saya berterima kasih kepada semua jentera dan petugas BN di peringkat nasional dan negeri yang berkempen untuk parti kita yang disayangi,” katanya. Selain itu, Ahmad Zahid berkata DAP, PKR dan Parti Amanah Negara yang masih tebal dengan sentimen kaum dan agama dan sangat berbeza ideologi dan pendirian politik, ditolak rakyat negeri ini. “Pembangkang punca kepada politik melampau ini. Pembangkanglah perosak pembangunan politik. Mereka bertindak secara bersendirian umpama beragam rimbun menyelara. “DAP ada acuan tersendiri dan PKR, ada congakannya tersendiri. Bak kata orang, rambut sama hitam, hati masing-masing. Mereka bercelaru berbanding BN yang sentiasa kebersamaan dan kesepakatan. “Di bawah ‘Team-Adenan’, aura BN semakin melonjak bagaikan rendah gunung, tinggi harapannya. Kemenangan pilihan raya ini adalah hasil rakyat yang mengundi kepada parti kita yang umpama rumpun bagai serai, seliang bagai tebu. Maksudnya, selalu bersatu hati dalam segala hal,” katanya.