suria

Empat Didakwa Seludup Migran

Dari kiri: Shahidullah, Momotin dan Nurul Islam diiringi polis keluar dari mahkamah selepas didakwa menyeludup migran pada Isnin.

KANGAR: Empat pendatang asing tanpa izin (Pati) didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan menyeludup migran di Wang Kelian.

Pada Isnin, warga Myanmar yang hanya dikenali sebagai Shahidullah @ Syahidullah, 18, dan Momotin @ Dus Mohamad, 19, masing-masing didakwa secara berasingan menyeludup Mohd Belal juga dari Myanmar di Bukit Wang Burma, Kelian di Perlis kira-kira pukul 5.30 pagi antara Ogos 2014 dan 10 Mac tahun lalu.

Warga Bangladesh Nurul Islam, 32, pula didakwa atas tiga tuduhan menyeludup tiga rakan senegaranya di Bukit Genting Perah di Wang Kelian.

Bagi tuduhan pertama, Nurul Islam didakwa menyeludup Mohamad Nurbasya kira-kira pukul 4 petang antara Oktober 2014 dan 3 Mei tahun lalu.

Dalam tuduhan kedua, dia didakwa menyeludup Delwar antara Oktober 2014 dan April tahun lalu.

Bagi tuduhan ketiga, tertuduh didakwa menyeludup Joy kira-kira pukul 4 pagi antara November 2014 dan 3 Mei tahun lalu.

Tertuduh ketiga, Biau Wong Chumpo, 46, didakwa menyeludup migran warga Bangladesh, Md Tifajir Husin pada pukul 1.30 pagi antara Oktober 2014 dan 2 Mei tahun lalu.

Momotin @ Dus Mohamad didakwa menyeludup migran warga Myanmar bernama Mohd Belal pada pukul 5.30 pagi antara Ogos 2014 dan 10 Mac tahun lalu di Bukit Wang Burma, Wang Kelian.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara 15 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tiada pengakuan direkodkan dan Mohd Izmi menetapkan 9 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd Abbas, bersama Afzainizam Abdul Aziz serta Nadia Zulkefli.


Artikel Lain