suria

Sonar Digital Digunakan Cari Badan Utama Helikopter - TLDM

Sistem sonar 3900.

PETALING JAYA: Dengan penemuan semua enam mayat mangsa nahas helikopter terhempas di Batang Lupar, Sarawak, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menggunakan sistem sonar digital resolusi tinggi untuk mencari badan utama helikopter tersebut.

Panglima Wilayah Laut Dua, Laksamana Muda Datuk Khairul Anuar Yahya memberitahu The Star Online pada Isnin bahawa pasukannya sudah berada di Lingga bersama dengan peralatan tersebut untuk mengesan bangkai helikopter malang berkenaan.

TLDM akan menggunakan Sistem 3900 yang merupakan sonar resolusi tinggi untuk misi mencari dan menyelamat yang memerlukan bahagian sistem imbasan mudah alih.

"Dalam kes ini, sistem itu berfungsi dengan memberi gambaran kecemasan bahagian bawah dasar laut atau bahagian dasar sungai," kata Khairul.

Beliau berkata sistem sonar itu akan memancarkan frekuensi yang dihantar bagi mendapatkan gambar dasar sungai yang dipamerkan.

"Kita dapat melihat imej dasar sungai dengan jelas.

"Jadi dari situ pengendali perlu menentukan sama ada (imej) adalah batu atau sesuatu yang lain," katanya.

Khairul berkata keadaan sungai menyukarkan operasi menyelam bagi mengesan bangkai helikopter tersebut.

"Semasa air pasang, arus sangat deras dan kita juga mengetahui bahawa sungai itu dipercayai dipenuhi dengan buaya.

"Air juga sangat keruh. Dengan sistem ini kita akan membantu memberi gambaran lebih jelas di dasar sungai," katanya.

Beliau berkata sistem tersebut kerap digunakan TLDM untuk melakar bahagian dasar lautan dan sungai.

Helikopter jenis Eurocopter AS350 yang membawa lima penumpang termasuk juruterbang itu berlepas dari Betong ke Kuching pada pukul 4.12 petang Khamis sebelum dilaporkan hilang.

Pada awal pagi Isnin, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat mangsa keenam dipercayai juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas di hulu Sungai Batang Lupar.

Mangsa lain yang telah ditemui adalah Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan suaminya, Asmuni Abdullah; Ahli Parlimen Kuala Kangsar merangkap Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; Ketua Setiausaha Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Sundaran Annamalai dan pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun.


sistem sonar, TLDM, helikopter

Artikel Lain