suria

Umno Perlu Penyegaran Semula Untuk Kekal Relevan

Mohamad Rozali Isohak. - fotoBERNAMA

KOTA BARU: Proses 'penyegaran semula' Umno menjadi satu aspek penting bagi memastikan parti itu dan Barisan Nasional (BN) yang ditunjanginya terus kukuh dan diyakini seluruh rakyat seperti pada awal penubuhannya.

Apa lagi sejak akhir-akhir ini parti terbesar yang membela nasib bangsa Melayu itu menerima pelbagai tohmahan yang bukan sedikit berikutan timbulnya pelbagai konflik dalaman.

Naib Pengerusi Kanan Veteran Umno Malaysia Datuk Mohamad Rozali Isohak berkata kelemahan itu yang dicanang pelbagai pihak tidak bertanggungjawab sedikit sebanyak akan menggugat keutuhan parti berkenaan.

"Apa lagi bila pemimpin besar seperti (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad yang seumpama tiang seri kepada Umno sebelum ini, keluar parti dan bersuara dari luar menentang pemimpin negara ketika ini.

"Walaupun suara itu tidak keseluruhannya didengari dan dipersetujui semua pihak, saya lihat ia mampu memberi kesan juga kepada parti apabila gambaran negatif disebar secara meluas di laman sosial," katanya.

Bertitik tolak dari situ, Mohamad Rozali, 66, berkata seluruh pemimpin dan anggota Umno perlu bermuhasabah, mengkaji apa yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa atau dengan kata lain, Umno perlu diberi nafas baharu yang lebih baik.

"Dalam keadaan ini saya amat bersetuju dengan pandangan Pengerusi Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa yang menyarankan perlunya satu tarbiah yang menyeluruh kepada anggota parti supaya sejarah dan perjuangan Umno selama ini disemarakkan semula dalam setiap jiwa rakyat negara ini," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Veteran Umno Negeri Kelantan berkata rasa sayang dan cinta kepada Umno terutama kepada generasi muda perlu sentiasa disegarkan untuk menjadi pemangkin kepada kelangsungan parti.

"Kita tidak mahu rakyat fikir apa yang sedang kita kecapi hari ini datang bergolek... tetapi perlu faham bahawa Umno yang ada sekarang adalah hasil penat jerih pemimpin terdahulu.

"Tugas menyegar dan mengembalikan kegemilangan Umno ini perlu dipikul oleh seluruh anggota parti dengan semangat dan keazaman yang tinggi...bukan bermusim. Ia perlu lahir daripada hati yang tulus untuk melihat Umno terus relevan," katanya.

Mohamad Rozali berkata usaha itu pula amat berkait rapat dengan semangat kesukarelawan anggota parti dengan melaksanakan tanggungjawab menyalurkan maklumat itu tanpa jemu.

"Secara peribadi saya melihat budaya sukarelawan dalam parti kian menipis. Maksud saya melaksanakan sesuatu kerja dengan ikhlas demi untuk parti tanpa ganjaran. Perubahan ini berlaku mengikut peredaran masa dan ia sesuatu yang tidak elok untuk parti.

"Bahkan saya melihat rakyat sendiri selalu meletakkan harapan bahawa mereka akan mendapat sesuatu setiap kali kepimpinan Umno turun padang bertemu mereka di peringkat akar umbi," katanya.

Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata adalah menjadi tugas besar kepada semua pemimpin dan anggota parti untuk mengekalkan persepsi yang baik kepada Umno seiring dengan kematangan usia penubuhannya yang mencecah 70 tahun 11 Mei ini.

Bagi beliau Umno tetap sebuah parti yang paling dominan dan mampu kekal relevan selamanya kepada rakyat jika ada kesepakatan dan iltizam yang kuat menangani krisis keyakinan yang dialami ketika ini.

"Umno mungkin boleh melihat atau mencari platform perpaduan dengan parti Melayu lain. Tidak salah rasanya kerjasama itu dibentuk melalui persefahaman bersama demi kebaikan semua," katanya.

Dalam pada itu, katanya sejarah telah membuktikan Umno adalah parti yang membela bangsa Melayu di negara ini sejak sekian lama bahkan menjadi sebuah parti yang berjaya meletakkan agama Islam sebagai agama persekutuan selepas melalui liku-liku getir ketika penjajahan British satu ketika dahulu.

Mohamad Rozali kini terus aktif menyampaikan ceramah dan penerangan di seluruh Kelantan selain terbabit dengan pelbagai aktiviti dengan hampir 60,000 anggota Veteran Umno Kelantan.

Mengulas harapannya kepada Umno menjelang ulangtahun ke-70 parti itu, Mohamad Rozali berkata sebagai 'orang lama' yang telah melihat pelbagai senario politik tanah air, beliau mahu melihat wajah Umno yang lebih baik.

"Kita harap Umno terus utuh dan matang ke arah kebaikan serta terus menjadi parti yang tetap relevan dalam apa jua zaman," katanya. - BERNAMA



Artikel Lain