PETALING JAYA: Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikejarkan ke hospital selepas mengalami tekanan darah yang tidak stabil, kata peguamnya, Sivarasa Rasiah di Facebook pada Isnin malam. "Datuk Seri Anwar Ibrahim dikejarkan ke hospital akibat darah tinggi yang tidak stabil. Sama-sama kita doakan untuk beliau," kata Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang. Anwar menyuarakan kebimbangan mengenai kesihatannya pada Julai 2015, dengan peguamnya meminta supaya beliau ditempatkan sebagai tahanan rumah kerana keadaan kesihatannya merosot, sambil menambah Anwar tidak diberikan akses yang sewajarnya untuk mendapatkan rawatan di penjara. Bagaimanapun, panel yang terdiri daripada 11 pakar perunding kanan Hospital Kuala Lumpur memeriksa keadaan kesihatan Anwar tetapi tiada yang mengesyorkan fisioterapi intensif. Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun setelah Mahkamah Persekutuan pada 2015 bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.