suria

Ancaman Penggal Kepala Tebusan Muncul Lagi

KOTA KINABALU: Ancaman untuk memenggal kepala empat warga Malaysia muncul kembali selepas penculik militan Abu Sayyaf menetapkan "awal" Mei sebagai tarikh akhir untuk mengadakan perbincangan terhadap proses pembebasan mereka.

Aktivis anti-penculikan, Prof Octavio Dinampo berkata, ugutan membunuh tawanan menjadi lebih mudah bagi kumpulan militan berikutan tindakan memenggal kepala Bernard Then pada 17 November tahun lepas dan warga Kanada, John Ridsdel pada 25 April di Pulau Jolo.

"Mereka tidak mempunyai keraguan untuk melaksanakan perkara itu kepada tebusan. Mereka tidak mempunyai hati dan perasaan dan sanggup melakukan tindakan yang kejam," katanya kepada The Star pada Rabu.

Tambahnya, penggal kepala tidak hanya dilakukan untuk memberi tekanan kepada keluarga dan kerajaan untuk berunding tetapi bagi mengurangkan tahanan yang sakit dan bermasalah.

Octavio berkata, operasi tentera Filipina telah memaksa militan dan tawanan mereka untuk sentiasa bergerak di kawasan pedalaman pergunungan pulau Jolo.

Tebusan yang lambat dan lemah akan berhadapan tindakan itu.

Dalam kejadian pada 1 April lalu, empat warga Malaysia diculik kumpulan bersenjata yang memintas kapal tunda dinaiki mereka di perairan Pulau Ligitan, Semporna.

Mereka ialah Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Siong, 34; Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21, manakala enam lagi kru kapal tunda berkenaan warga Indonesia dan Myanmar dibebaskan.

Kumpulan bersenjata itu dalam panggilan telefon kepada keluarga mangsa dilaporkan menetapkan awal Mei sebagai tarikh akhir bagi mereka untuk memulakan rundingan supaya tebusan 'dibebaskan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pada 4 Mei bahawa, laporan perisikan menunjukkan empat tawanan Malaysia itu telah dilayan dengan baik oleh penculik bersenjata dan mereka berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Abu Sayyaf

Artikel Lain