KOTA KINABALU: Jika penonton pawagam Malaysia sangat teliti, mereka pastinya boleh mengenali suasana hutan di Sabah dalam filem popular, The Jungle Book. Kesan visual hasil kerja Helen Brownell dalam filim berkenaan adalah berdasarkan kunjungannya ke Sabah 10 tahun lalu sebagai sukarelawan Raleigh International. Hasilnya, dia memasukkan suasana di hutan Sabah dalam beberapa adegan filem tersebut. Dia telah menghabiskan masa kira-kira 10 minggu di beberapa lokasi seperti di Imbak Canyon, Gunung Kinabalu dan Banjaran Crocker. Hari ini, dia bekerja di The Moving Picture Company dan sejak 2014 telah terlibat dengan Disney Pictures menerusi projek penceritaan semula pengembaraan Mowgli dan kawan-kawan haiwannya. "Tiada apa yang dapat dibandingkan dengan pengalaman sebenar berada di dalam hutan. Berhadapan cabaran untuk mencipta sebuah persekitaran yang menakjubkan dalam imej janaan komputer adalah kegembiraan sebenar. "Banyak perkara semasa projek itu mencetuskan kenangan dalam pengembaraan Borneo saya. "Saya teruja untuk mewujudkan semula sebahagian daripada persekitaran yang indah semasa perjalanan saya dan biarkan pengembaraan itu mempengaruhi kerja yang saya lakukan mengenai hutan dalam filem tersebut. "Saya berharap apabila anda menonton filem itu, anda dapat rasakan suasana hutan yang sebenar," katanya dalam satu blog di raleighinternational.org. Tambah Brownell, dia berharap untuk kembali ke Sabah dan merasai pengalaman berada di hutan sekali lagi. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun berkata beliau tidak terkejut apabila hutan di Sabah menjadi inspirasi bagi Brownell. Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Sam Mannan berkata, hutan dan taman-taman yang diterokai Brownell sebelum ini masih terpelihara. Beliau berkata hakikat bahawa hutan di Sabah telah menjadi inspirasi bagi pembuat filem adalah satu kejutan yang menyenangkan.