KUALA LUMPUR: Pengurusan mayat mendiang Kapten Rudolf Rex Ragas yang terlibat dalam nahas helikopter di Sarawak, Khamis lalu, selesai dijalankan di Nirvana Bau, Kuching pada jam 3.30 petang Rabu. Pengurusan mayat juruterbang itu, juga warga Filipina, dilakukan setelah mendapat kebenaran daripada pihak kedutaan negara itu dan keluarga mendiang, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. "Sebelum saya balik ke sini (dari Kuching) saya telah berbincang dengan keluarga mendiang...dari segi keadaan mayat, keadaan itu tidak memungkinkan untuk dibawa (pulang ke Filipina). "Berikutan itu mayat berkenaan akan dikremasi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) 2016, di sini, Rabu. Rohani menambah abu mayat mendiang akan dibawa pulang ke Filipina menggunakan penerbangan komersil pada pukul 2.30 petang esok. Mengenai konvensyen yang bermula hari ini, Rohani berkata ia bertujuan menemukan, mendengar serta berbicara mengenai agenda wanita di negara ini. Setiap peserta telah dilantik sebagai mata bagi melihat dan melaporkan isu dan masalah kaum hawa; telinga bagi mendengar rintihan; dan suara untuk berbicara mengenai isu wanita, katanya. Seramai 230 orang peserta hadir ke konvensyen yang berakhir pada Jumaat ini. Mereka termasuk pengerusi MPWK negeri dan parlimen yang telah dilantik bagi penggal 2016-2017.