SUNGAI BESAR: Lima Adun PKR di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang mesti menyokong dasar-dasar kerajaan negeri. Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali berkata, adalah penting bagi wakil rakyat penyokong kerajaan memainkan peranan dalam menyokong dasar-dasar kerajaan negeri. "Yang pasti mereka dibenarkan untuk menyuarakan kebimbangan mereka dan jika mereka betul, forum yang terbaik untuk mereka berbincang adalah 'dewan' (Dewan Undangan Negeri)," kata Azmin di sini, Khamis. Lima Adun PKR iaitu Ong Chin Wen (Bukit Tengah), Dr Norlela Ariffin (Penanti), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Dr T. Jayabalan (Batu Uban) dan Lee Khai Loon (Machang Bubuk) telah berkecuali daripada mengundi usul menyokong projek penambakan tanah dalam persidangan DUN November lalu. Adun Pulau Betong daripada Barisan Nasional, Muhammad Farid Saad dijangka membentangkan usul terhadap projek itu pada persidangan yang akan datang dan terdapat kemungkinan besar lima wakil PKR akan menyokongnya.