suria

CEO Rayani Air Pengsan, Tidak Hadir Inkuiri

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendrran yang kini berhadapan tekanan selepas operasi syarikat penerbangan itu digantung tidak dapat hadir ke proses inkuiri Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada Khamis.

Ravi yang mengendalikan syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia itu berkata dia pengsan akibat tekanan darah tinggi.

"Ya, tekanan tinggi," katanya ketika dihubungi.

Walau bagaimanapun, isterinya Datuk Karthiyani Govindan menghadiri siasatan berkenaan.

Karthiyani adalah pengasas bersama Rayani Air.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini memberi amaran bahawa syarikat itu berhadapan risiko kehilangan Sijil Pengendalian Udara (AOC) jika DCA tidak berpuas hati dengan penjelasan mereka.

Katanya DCA akan menjalankan audit pentadbiran dan keselamatan untuk menentukan sama Rayani Air layak menerima AOC selepas menjalani penggantungan sementara.

Pada 11 April lalu, DCA menggantung sementara AOC Rayani Air selama tiga bulan berkuat kuasa serta-merta.

Artikel Lain