suria

Inkuiri Rayani Air: "Hari Penentuan Buat Kami"

PETALING JAYA: Pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran sedia berhadapan dengan inkuiri yang dilakukan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) ke atas syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia itu pada Khamis.

"Kami sudah bersedia dan melakukan persiapan untuk inkuiri ini. Kita tunggu nanti keadaannya.

"Kita ada sediakan laporan. Harap semuanya berjalan lancar," katanya kepada mStar Online namun enggan mengulas lanjut.

Bagaimanapun, menurut sumber Rayani Air kepada mStar Online, inkuiri di DCA dijangka diadakan pada pagi Khamis.

Tambahnya, antara wakil syarikat penerbangan itu yang dijangka hadir ialah Ravi bersama isteri, Datuk Karthiyani Govindan selaku Pengarah Kewangan dan Sumber Manusia Rayani Air, serta pengurusan tertinggi syarikat yang 'berdaftar dengan DCA'.

"Kami diminta menyediakan laporan penstrukturan semula Rayani Air yang antara lain meliputi rancangan dan status berkaitan dengan kewangan, operasi, kakitangan dan pesawat," katanya.

Menurut sumber itu, "hari ini adalah hari penentuan kami. Kita bagaimanapun telah membuat persiapan untuk inkuiri dengan DCA."

Pada 11 April lalu, DCA menggantung sementara Sijil Pengendalian Udara Rayani Air selama tiga bulan berkuat kuasa serta-merta.

Rayani Air sebelum ini berdepan dengan pelbagai isu sehingga mendapat rungutan para penumpang, seperti pembatalan dan kelewatan penerbangan.

Dilaporkan syarikat penerbangan itu turut mengalami masalah kewangan mengakibatkan tunggakan gaji 400 kakitangannya yang mencecah kira-kira RM3 juta.

Menurut Ravi, pihaknya masih sedang berusaha untuk mendapatkan dana bagi menyelamatkan syarikat penerbangan itu dengan mengadakan rundingan bersama beberapa pelabur.

Rayani Air

Artikel Lain