suria

Deklarasi Rakyat Capai Sasaran Sejuta Tandatangan - Dr Mahathir

PUTRAJAYA: Pengisytiharan Deklarasi Rakyat yang bertujuan menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencapai sasarannya mengumpul satu juta tandatangan dalam masa dua bulan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut bekas perdana menteri itu, sehingga tengah hari Khamis tandatangan secara dalam talian yang diterima adalah sebanyak 1,071,997 dengan lebih daripada 200,000 tandatangan di atas kertas.

Bercakap di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada Jumaat, beliau berkata gerakan itu mencapai sasaran hanya dalam masa dua bulan walaupun tempoh yang diberikan adalah sehingga akhir tahun ini.

Dr Mahathir berkata setiap individu yang menandatangani deklarasi itu sama ada dalam talian atau di atas perlu memasukkan nombor MyKad yang sah.

Katanya sebanyak 253,505 penyertaan telah ditolak kerana tidak lengkap, berulang atau memberikan nombor MyKad yang tidak sama dengan nama.

"Mereka yang menandatangani akuan ini menyedari sepenuhnya bahawa mereka komited kerana perlu memasukkan nombor kad pengenalan mereka.

"Ini adalah satu usaha yang serius untuk memberitahu negara, rakyat, kerajaan dan raja-raja bahawa rakyat negara ini mahu menyingkirkan Perdana Menteri ini," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau akan memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong susulan gerakan itu telah mencapai sasaran satu juta tandatangan.

Artikel Lain