suria

Tiada DNA Manusia Pada Anak Kambing Mirip Wajah Manusia

PUTRAJAYA: Ujian makmal veterinar mendapati tiada asid deoksiribonukleik (DNA) manusia pada anak kambing yang dikatakan berwajah seperti manusia di Kota Tinggi, Johor seperti diviralkan di media sosial, kata Ketua Pengarah Veterinar Datuk Kamarudin Md Isa.

Beliau berkata secara genetik anak kambing itu tidak normal dan ia mati dalam kandungan.

"Ia merupakan satu keganjilan janin, semua pihak diminta menghentikan spekulasi negatif dan tidak menyebarkan fakta tidak benar.

"Tidak ada isu yang mengatakan anak kambing itu adalah hasil salah laku seks manusia ke atas ibu kambing. Itu persepsi salah," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan kes anak kambing yang dikatakan berwajah manusia itu.

Pada 24 April lalu, media melaporkan seorang peneroka di Felda Sungai Mas, Kota Tinggi terkejut apabila mendapati kambing peliharaannya melahirkan seekor anak berwajah pelik yang didakwanya seakan-akan manusia, termasuk berhidung kemek dan berkaki pendek.

Kamarudin berkata sampel anak kambing berkenaan diuji di Makmal Veterinar Johor Bahru akhir bulan lepas.

Keganjilan janin merupakan satu perkara yang biasa berlaku dalam kalangan haiwan namun peratusannya adalah sangat kecil iaitu satu peratus, katanya.

Tambah beliau, antara faktor yang menyebabkan keganjilan janin ialah kurang zat dan jangkitan penyakit.

Dalam sidang akhbar yang sama, Kamarudin menjelaskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengamalkan dasar terbuka dalam meluluskan permohonan mengimport ternakan hidup dan juga daging seperti daging kerbau sejuk beku, daging lembu dan kambing serta keratan ayam.

Ruangan pojok sebuah akhbar baru-baru ini mendakwa JPV membuat keputusan yang memihak kepada pemain-pemain besar industri yang dianggap kartel.

DNA

Artikel Lain