suria

Ujian Air Kencing Pemandu Tren KTMB Bebas Pengaruh Dadah

Tren penumpang KTM dalam perjalanan dari Butterworth ke Kuala Lumpur bertembung dengan ETS di laluan Kuala Kubu berhampiran Stesen Komuter Batang Kali, 7 Mei lalu.

BENTONG: Ujian air kencing terhadap pemandu tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang terlibat dalam kemalangan pada 7 Mei lalu disahkan bebas daripada pengaruh dadah.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementeriannya akan menerima laporan awal siasatan pada minggu hadapan daripada pasukan khas siasatan kemalangan yang diketuai KTMB.

"Jika ada unsur kecuaian, kita akan terus menggantung pemandu yang terlibat. (Kesalahan) ini tidak boleh diterima. Kesalahan akibat kecuaian adalah amat serius dan perlu tindakan tegas," katanya.

Liow berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Jom JPJ peringkat negeri anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang di Dataran Trans di sini, Sabtu.

Beliau mengulas perkembangan siasatan kemalangan melibatkan tren Ekspres Rakyat (Butterworth-Johor Baharu) dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) (Kuala Lumpur-Ipoh) di KM322 berhampiran stesen Kuala Kubu Baharu yang mengakibatkan tiga penumpang cedera ringan.

Dalam perkembangan lain, Liow memberitahu usaha mencari bangkai helikopter jenis Eurocopter AS350 yang terhempas dan mengorbankan enam individu termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon pada 6 Mei lalu sedang giat dilakukan.

"Kita menganggap lokasi helikopter terhempas adalah sekitar kawasan mayat ditemui di Sungai Batang Lupar. Setiap hari kita menggariskan kawasan tertentu bagi operasi pencarian.

"Pada hari pertama kejadian, kita telah mencari di kawasan seluas 2,000 kilometer persegi dan sebanyak 800 kilometer persegi pada hari kedua. Kita akan terus bahagikan zon dalam operasi mencari bangkai helikopter," katanya.

Helikopter yang dikemudi juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas itu dalam penerbangan dari Betong pada 4.12 petang 6 Mei lalu menghala ke Kuching sebelum terputus hubungan dan hilang dari radar.

Turut terkorban ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah, Anggota Parlimen Kuala Kangsar yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai dan pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri.

Selain itu, Liow juga memaklumkan mulai 1 Jun ini, orang ramai boleh memperbaharui atau melakukan transaksi berkaitan geran kenderaan secara dalam talian bagi memudahkan urusan seperti menukar hak milik kenderaan tanpa perlu ke kaunter. - BERNAMA

KTMB, kemalangan, Liow Tiong Lai

Artikel Lain