suria

Amanah Janji Tidak Berlaku Pertembungan Calon Pembangkang

Mohamad Sabu.

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) akan memastikan tidak berlaku pertembungan calon pakatan pembangkang atau Pakatan Harapan yang turut dianggotai Parti Keadilan Rakyat dan DAP, pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Presidennya Mohamad Sabu berkata calon pakatan itu akan ditentukan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dijadual dalam tempoh terdekat.

"Kami perlu tunggu mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, sesiapa sahaja boleh menjadi calon.

"Amanah akan memastikan agar tidak berlaku pertindihan calon seperti apa yang berlaku di Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 baru-baru ini," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Kekosongan kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar masing-masing berikutan kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Jumaat lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calonnya pada 5 Jun. - BERNAMA

Artikel Lain