GEORGE TOWN: Seorang pemandu bas Rapid Penang mengalami detik cemas apabila dimaki hamun dan diludah seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakannya membunyikan hon selepas kenderaan lelaki terbabit menghalang lalu lintas di Lebuh Cecil di sini, Sabtu. Dalam kejadian kira-kira 5.10 petang itu, mangsa berusia 41 tahun sedang memandu bas berkenaan sebelum melihat sebuah kereta jenis Proton Savvy yang diparkir sehingga menghalang laluan di situ. Sumber berkata pemandu bas itu memberhentikan bas dan membunyikan hon dua kali sebelum tiba-tiba pemandu kereta berkenaan keluar daripada kenderaannya dan menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa. "Lelaki itu terus memandu bas dengan perlahan dan berjaya melepasi laluan di situ serta meneruskan perjalanan sebelum berhenti di perhentian bas tidak jauh daripada lokasi insiden tersebut untuk menurunkan penumpang dan tiba-tiba kereta yang sama memotong serta berhenti di hadapan bas tersebut. "Pemandu kereta itu pergi ke arah tingkap bas pemandu lalu memaki hamun pengadu dan dia turut bertanya kenapa membunyikan hon sebelum mengarahkan mangsa turun daripada bas tersebut," katanya di sini Ahad. Sumber itu berkata pemandu bas itu yang telah bekerja dengan Rapid Penang sejak tiga tahun lepas, tidak turun kerana ada penumpang dalam bas dan ia menyebabkan lelaki terbabit berang dan meludah ke muka mangsa sebelum masuk ke dalam kereta dan terus memecut laju. Beliau berkata pemandu bas itu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan kerana bimbang keselamatan dirinya. Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, dan pihaknya sedang mengesan pemandu kereta terbabit. - BERNAMA