PETALING JAYA: Tiga pekerja warga Bangladesh terperangkap dibawah runtuhan, manakala tiga lagi berjaya diselamatkan apabila konkrit runtuh di tapak pembinaan di Persiaran Barat di sini, pagi Ahad. Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Hani Harul berkata, kejadian pada pukul 10 pagi itu berlaku di tingkat empat bangunan itu. "Tiga pekerja yang diselamatkan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapat rawatan. "Pada masa sama, operasi mencari dan menyelamat diteruskan untuk tiga pekerja lain," katanya ketika dihubungi pada Ahad. Bagaimanapun, pihak bomba enggan mengulas lanjut berhubung kejadian dan tapak projek itu.