suria

Puteri Umno Harap Tanding PRK Sungai Besar Dan Kuala Kangsar

Datuk Mas Ermieyati Samsudin
KUALA LUMPUR: Puteri Umno berharap calon pergerakan itu  dipilih untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.

Ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsudin bagaimanapun berkata namun ia bergantung kepada pertimbangan dan keputusan yang akan dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

"Sama ada calon Puteri akan bertanding atau tidak, kami akan tetap fokus untuk menggerakkan jentera Puteri yang akan turut sama berkempen bagi kedua-dua PRK," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Dalam Radar terbitan Bernama Radio, Isnin.

Kekosongan kerusi Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak masing-masing berikutan kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Jumaat lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calonnya pada 5 Jun.

Mas Ermieyati juga berkata golongan muda perlu didedahkan dengan sejarah penubuhan Umno supaya mereka lebih menghargai jasa dan perjuangan pemimpin terdahulu.

Menurutnya, ia juga dapat mengelakkan golongan muda yang bakal menerajui kepimpinan negara pada masa depan daripada dimomokkan dengan cerita yang tidak benar tentang Umno.

Artikel Lain