suria

Sungai Pahang, Sungai Tembeling Kritikal, Cetus Bencana Air Negara - Pakar

JERANTUT: Dua sungai utama yang menjadi sumber bekalan air mentah kepada sebahagian besar penduduk di Semenanjung Malaysia, iaitu Sungai Tembeling dan Sungai Pahang kini semakin cetek dan berada di tahap kritikal.

Semuanya, akibat penerokaan hutan yang tidak terkawal di kawasan itu.

Pakar-pakar alam sekitar menyifatkan ini 'bencana air negara'!.

Sekumpulan 150 orang yang terdiri daripada pakar alam sekitar, ahli akademik universiti tempatan, badan bukan kerajaan (NGO) membuat perakuan itu setelah menyertai 'Misi Selamatkan Hutan Tadahan Air Negara' Ulu Tembeling selama tiga hari bermula Jumaat lepas. 

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata hasil misi yang turut disertai oleh 50 buah kenderaan pacuan empat roda itu, satu deklarasi tujuh ketetapan utama yang dinamakan 'Deklarasi Ulu Tembeling' telah dikeluarkan.

"Hasil pemerhatian yang kita lakukan selama tiga hari di Ulu Tembeling kita dapat membuat kesimpulan keadaan Sungai Tembeling dan Sungai Pahang yang cetek bukan hanya kerana fenomena El Nino atau kemarau panjang.

"Sebaliknya ia juga berpunca daripada kegiatan pembalakan dan pembukaan hutan tidak terkawal di kawasan hutan tadahan air semulajadi yang terdapat di kawasan Ulu Tembeling sehingga menjejaskan sungai-sungai di kawasan itu," katanya selepas misi berkenaan.

Sehubungan itu, Deklarasi Ulu Tembeling mendesak kerajaan negeri supaya menghentikan semua kegiatan pembalakan dan rancangan pembangunan ladang kelapa sawit secara besar-besaran di Lembah Sungai Kembir yang dilakukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP). 

"Ia termasuk pembalakan di kawasan hutan tadahan semulajadi di Ulu Sungai Tembeling dan semua anak-anak sungainya termasuk Sungai Kembir, Sungai Kanchin, Sungai Pengau, Sungai Sephia, Sungai Neriak, Sungai Lempah dan Sungai Tekal dan sekitar banjaran Gunung Dulang dan Gunung Ais.

"Kita juga telah memperakukan bahawa kegiatan pembalakan tidak terkawal ini berpunca daripada penyelewengan dan kegagalan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa negeri. 

"Justeru kita mendesak supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai-pegawai yang terlibat," katanya. 

Deklarasi itu juga mendesak kerajaan negeri supaya memperluaskan zon penampan sungai di semua kawasan pembalakan kepada minimum 50 meter di kedua-dua belah tebing sungai serta mengenakan hukuman yang berat terhadap pihak yang melanggar ketetapan itu. 

Katanya satu pindaan terhadap perlembangaan negara juga dicadangkan supaya kuasa dan tanggungjawab terhadap hutan dan sungai tidak hanya terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri semata-mata, tetapi harus juga diberikan hak bersama kepada kerajaan persekutuan. 

Shariffa Sabrina berkata kesemua perkara yang terkandung dalam deklarasi itu perlu dipandang serius oleh kerajaan negeri untuk mengelakkan kedua-dua sungai itu hanya tinggal nama sahaja pada suatu hari nanti. 

"Kita akan serahkan deklarasi ini kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan salinannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta agensi kerajaan yang berkaitan," katanya. 

Bernama sebelum ini pernah melaporkan kegiatan penerokaan hutan di kawasan Ulu Tembeling telah menyebabkan sungainya yang pernah menjadi medium utama pengangkutan penduduk kawasan itu semakin cetek. 

Malah keadaan itu juga menjejas ekonomi penduduk kampung termasuk penduduk Mat Daling yang sebelum ini banyak bergantung kepada industri pembuatan bot dan pelancongan. -- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain