suria

Azmin Mahu 'Satu Lawan Satu' Di PRK Sungai Besar

SABAK BERNAM: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berharap parti pembangkang mengekalkan prinsip 'satu lawan satu' dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar bulan depan.

Menteri Besar Selangor itu berkata parti pembangkang perlu mengambil iktibar daripada kekalahan mereka pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 baru-baru ini yang melihat pertindihan beberapa kerusi antara mereka menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 72 daripada 82 kerusi.

"Ini adalah masa terbaik untuk semua parti dalam pembangkang bersepakat bagi memastikan pertarungan satu lawan satu menentang BN," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Stesen Bas Sungai Besar Sentral dan pelancaran bas percuma 'Smart Selangor' Daerah Sabak Bernam, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada akan wujud pertembungan sesama pakatan pembangkang dalam PRK Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata pihaknya sudah pun mengadakan perbincangan awal bersama Parti Amanah Negara (Amanah), PAS dan DAP berhubung PRK itu dan PKR serta rakan sekutunya (DAP dan Amanah) belum memutuskan calon yang layak untuk bertanding menentang calon BN.

PKR itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon, yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Azmin Ali, PRK Sungai Besar

Artikel Lain