suria

Tabung Haji Catat Lebih 110,000 Pendeposit Baharu

KUALA LUMPUR: Tabung Haji mencatatkan lebih ramai pendeposit baharu dalam tempoh empat bulan lalu berbanding jumlah yang mengeluarkan simpanan dan menutup akaun mereka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sejumlah 111,329 akaun baharu dibuka antara Januari hingga April tahun ini.

Pada masa sama, beliau berkata, 3,954 pendeposit mengeluarkan simpanan antara Februari dan Mac, manakala 3,125 lain menutup akaun Tabung Haji untuk tempoh sama.

"Situasi ini berlaku semasa tersebarnya khabar angin yang mendakwa dana Tabung Haji semakin berkurangan," katanya ketika menjawab soalan Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) pada sidang Dewan Rakyat, Rabu.

Asyraf Wajdi berkata, penyebaran maklumat yang tidak tepat terutama menerusi media sosial memberi impak terhadap persepsi masyarakat terhadap Tabung Haji.

"Tindakan pendeposit yang terpengaruh dengan khabar angin yang tersebar menyebabkan mereka tidak berpeluang merasai dividen yang diberikan Tabung Haji," katanya.

Asyraf Wajdi menambah, Tabung Haji telah berusaha untuk memperbaiki imej organisasi itu dengan memberi maklum balas menerusi laman web dan media sosial selain mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.




Tabung Haji, Asyraf Wajdi Dusuki

Artikel Lain