suria

Halang Tugas Polis, Penganggur Didenda RM1,500

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didenda RM1,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah menghalang anggota polis daripada menjalankan tugasnya.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhi hukuman itu terhadap S. Arun, 23, yang didakwa dengan sengaja menghalang Lans Koperal Mohd Rassyied Mohd Noh daripada menjalankan tugasnya untuk memeriksa dokumen pengenalan diri. 

Arun didakwa melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Tebing Timor, Jinjang Utara, Jinjang, Sentul, di sini pada 1.30 tengah hari, 16 Mei lepas mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya. 

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling minimum kerana dia menanggung ibu yang menghidap penyakit asma. 

Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh. -- Bernama

Artikel Lain