suria

Projek Asrama Pekerja Asing Kerajaan P. Pinang Dibantah Adun PKR

Ong Chin Wen

GEORGE TOWN: Projek kerajaan negeri pimpinan DAP hari ini dipersoalkan oleh wakil rakyat PKR, yang merupakan sekutu parti itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini.

Ong Chin Wen (PKR-Bukit Tengah) mempersoalkan projek asrama pekerja asing oleh kerajaan negeri dengan mendakwa kajian awal yang dilakukan kerajaan DAP Pulau Pinang itu tidak mencerminkan situasi sebenar di kawasan Juru dan Bukit Minyak.

Menurutnya, tapak perancangan projek itu tidak sesuai untuk membina asrama kerana ia akan menyebabkan peningkatan pekerja asing di kawasan berkenaan dan membawa kepada masalah kesesakan lalu lintas.

"Saya membantah lokasi projek itu dan ingin membuat permohonan kepada kerajaan negeri supaya mengemukakan satu salinan kajian awal yang dibuat,"  katanya ketika sesi soal jawab persidangan DUN, di sini, Khamis.

Bantahan itu turut disokong Cheah Kah Peng (PKR-Kebun Bungah) yang mempersoalkan keikhlasan kerajaan negeri membina asrama itu di Juru dan Bukit Minyak.

Cheah berkata bagaimanakah penduduk Pulau Pinang khususnya penduduk di kawasan berkenaan akan mendapat manfaat daripada projek itu.

Timbalan Ketua Menteri II Prof P. Ramasamy ketika menjawab soalan itu berkata tujuan asrama di Juru dan Bukit Minyak adalah untuk mengawal masalah  sosial antara pekerja asing dan pekerja tempatan.

"Projek ini akan memberi tempat untuk pekerja asing duduk dengan segala fasiliti supaya dapat mengurangkan masalah sosial dan masalah mereka yang menyewa rumah di kawasan kediaman penduduk tempatan," katanya.

Beliau berkata kajian awal projek berkenaan mendapati kawasan Juru dibanjiri hampir 19,000 pekerja asing yang kini mendiami kawasan berhampiran kilang tempat mereka bekerja.

Ramasamy berkata lokasi cadangan asrama itu berhampiran kawasan perindustrian dan akan dilengkapi sistem kawalan keselamatan yang tinggi namun projek itu belum mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Seberang Perai.

"Kajian itu dibuat oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan maklumat terperinci mengenai projek itu akan didedahkan kepada ADUN Bukit  Tengah," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain